JOHOR BAHRU : Tiada sekolah menengah di negeri ini khususnya di empat daerah terjejas banjir dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan Dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, ini kerana sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat
peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Katanya, setakat ini, hanya sembilan sekolah rendah sahaja termasuk satu sekolah rendah agama di Kota Tinggi yang dijadikan PPS.
“Setakat hari ini, sebanyak 9 PPS yang melibatkan institusi pendidikan negeri Johor telah dibuka melibatkan 32 bilik penempatan seperti bilik darjah, surau atau dewan.
“Sekolah rendah yang digunakan sebagai PPS melibatkan seramai 1,046 mangsa keseluruhan termasuk 235 murid dan
pelajar sekolah telah terkesan akibat banjir,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sekolah rendah yang dijadikan PPS ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) New Kota, Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, SK Laksamana, SK Nam Heng, SK Sungai Telor, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi.
Turut dijadikan PPS ialah SK Tenglu dan SK Air Papan di Mersing serta SK Cahaya Baru, Pasir Gudang.
Norliza memberitahu, seramai 48,276 pelajar dijangka akan menduduki
peperiksaan SPM yang dijangka akan
berlangsung pada Ahad ini sehingga 7 Mac depan yang melibatkan 364 jumlah pusat peperiksaan.
Katanya, bagi memastikan kelancaran peperiksaan dijalankan, ia melibatkan seramai 4,205 petugas, 900 sukarelawan dan 112 penyelia kawasan.
“Bagi STPM pula, seramai 8,831 pelajar akan menduduki peperiksaan itu yang dijangka akan berlangsung pada 22 Januari ini sehingga 6 Februari depan yang
melibatkan 75 jumlah pusat peperiksaan dengan penglibatan 572 petugas peperiksaan.
“Kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah bekerjasama dalam menetapkan garis panduan sekiranya berlaku bencana banjir sewaktu musim peperiksaan,” katanya. –UTUSAN