Sekatan persembahan hiburan di Perlis hanya bersifat sementara - Utusan Malaysia

Sekatan persembahan hiburan di Perlis hanya bersifat sementara

ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sekatan penganjuran sebarang persembahan hiburan di Perlis hanyalah bersifat sementara susulan daripada usul solidariti ke atas rakyat Palestin yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember tahun lalu.

Berikutan itu, bermula Februari depan, sebarang acara hiburan di Perlis akan dibenarkan semula namun penganjurannya tidak boleh berlebihan dan mengikut garis panduan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, setiap kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi pelaksanaan acara persembahan hiburan sebelum ini dibuat berdasarkan kepada permohonan daripada penganjur.

“Bila permohonan itu tulis ‘live band’, kita tak benarkan seketika sebelum ini untuk tempoh mungkin sehingga Januari ini susulan usul yang diluluskan di DUN itu.

“Dan bermula Februari ini kita akan buka balik berkaitan permohonan ini namun penganjurannya tidak boleh berlebihan dan mengikut garis panduan sedia ada yang dikeluarkan,” katanya.

Sidang DUN Perlis pada 13 Disember lalu meluluskan usul mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap penduduk Palestin malah kerajaan negeri turut mengambil pendirian melarang sebarang program hiburan sewaktu sambutan ambang tahun baharu sebagai tanda solidariti ke atas rakyat negara bergolak itu.

Untuk rekod, Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 11 Jun 2016 lalu telah mengeluarkan garis panduan bagi sebarang acara persembahan hiburan di negeri ini yang tidak seharusnya mengandungi sebarang anasir bertentangan dengan syarak.

Antara garis panduan berkenaan turut mengkehendaki agar pelaksanaan sebarang acara hiburan hendaklah tidak mendorong kepada sifat dan kelakuan melampau yang merendahkan akhlak mulia insani.

Dalam pada itu, Asrul berkata, larangan acara persembahan hiburan yang dikeluarkan sebelum ini adalah melibatkan permohonan untuk program-program berbentuk awam sahaja dan tidak membabitkan kedai makan, kenduri, pemuzik jalanan atau ‘busker’.

Katanya, masyarakat selain beragama Islam juga masih boleh meneruskan acara persembahan hiburan mereka seperti biasa tanpa sebarang halangan.

“Malah persembahan seperti teater juga boleh dianjurkan seperti biasa namun perlu mematuhi garis panduan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya