KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri lega apabila segelintir peminatnya tidak lagi mengecam dan mempersalahkan penyanyi Nadeera berikutan isu lagu Astana di semi final Muzik-Muzik 38 yang berlangsung, baru-baru ini.
Kata Ernie, dia gembira kerana berkesempatan menjelaskan perkara sebenar agar peminat-peminatnya yang sebelum ini mengecam Nadeera, jelas dan tidak lagi menyerang penyanyi itu.
“Yang kecam itu mereka tak tahu cerita sebenar dan tak faham konteks. Lalu tentu mereka akan salahkan saya atau Nadeera.
“Saya faham apa yang Nadeera lalui. Begitu juga dia yang memahami saya. Kami berdua tersepit tapi Alhamdulillah semunya selesai. Kami dah move on.
“Saya tidak menganggap kami sebagai mangsa keadaan. Cuma apa yang berlaku adalah salah faham dan bukan tugas kami untuk menjelaskan pun perkara ini. Kami hanya lakukan tugas kami sebagai penyanyi,” kata Ernie yang ditemui pada sidang media konsert Voice of The Heart baru-baru ini.
Nadeera sebelum ini diumumkan sebagai penyanyi yang akan menggantikan penyanyi asal untuk lagu Astana pada Semi Final Muzik Muzik 38.
Pengumuman itu mencetuskan kemarahan peminat Ernie sehingga ada yang menyerang dan mengecam Nadeera di media sosial.
Namun kedua label, Rocketfuel dan Universal Music Malaysia memutuskan untuk tidak menampilkan Nadeera, sebaliknya mengembalikan tugas menyanyikan lagu Astana di SFMM38 kepada Ernie.
Dalam pada itu, Ernie juga memaklumkan isu tersebut telah sepenuhnya selesai tanpa meninggalkan sengketa antara dia dan Nadeera.
Bahkan kedua-dua pihak sebelum ini ada menghubungi satu sama lain untuk menjernihkan keadaan yang sebelum itu, keruh.
“Antara saya dan Nadeera tidak timbul masalah, tak menyimpan hati sesama kami. Malah perkara ini sempat kami bincangkan sebelum ini.
“Saya tak perlu ada perselisihan dengan sesiapa dan industri seni kita pun kecil, pusing-pusing tetap akan berjumpa. Kalau bergaduh akan jadi kekok,” kongsinya.
Nadeera bila disoal tentang perkara sama juga memaklumkan tidak menyimpan dendam terhadap pihak Ernie dan lega semuanya selesai tanpa isu tersebut perlu dipanjang-panjangkan.
“Sebagai manusia, memang rasa tak sedap apabila dituduh yang bukan -bukan. Sebenarnya memang saya tak tahu menahu apa yang berlaku. Tapi tak mengapa. Saya maafkan sahaja.
“Saya dan Ernie tak ada masalah pasal isu ini dan sebagai salah seorang peminat, saya hormati dia.
“Kalau jadi Ernie, saya pun nak nyanyikan lagu sendiri. Jadi apabila tak berpeluang bawa lagu Astana, saya anggap tak ada rezeki,” kongsinya.