Saya dilayan seperti seorang penjenayah - Dr Mahathir

Saya dilayan seperti seorang penjenayah – Dr Mahathir

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau seolah-olah diperlakukan seperti ‘penjenayah’ selepas lebih 10 kali disoal siasat oleh polis sejak beberapa tahun lalu.

Dr Mahathir berkata, beliau dilayan sedemikian kerana hanya mengeluarkan kenyataan yang tidak sebulu dengan pemerintah.

“Sekejap-sekejap saya disoal polis macam saya ni ‘common criminal’ (penjenayah yang kerap melalukan kesalahan).

“Ada sahaja laporan, polis duk tanya saya. Saya jawab la, saya seorang rakyat yang mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai diambil keterangan polis di sini, hari ini.

Sebelum itu, tiga pegawai polis dari Bukit Aman hadir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini bagi mengambil keterangan Dr Mahathir berhubung kenyataan sensitif membabitkan kaum India.

Mengulas mengenai proses keterangan tadi, Dr Mahathir berkata, beliau mengakui ditanya 19 soalan berhubung isu berkenaan.

“Dia (polis) tanya 19 soalan dan ada yang boleh saya jawab. Saya tak nampak saya buat salah. Saya ada hak, pendirian dan fahaman saya. Tapi itu dikatakan salah. Jadi, selebihnya, saya akan jawab di mahkamah lah.

“Saya nak tanya saya boleh cakap atau tidak. Itu pendapat saya. Saya dapati kita hidup dalam Malaysia terlalu banyak tekanan. Sikit-sikit kena buat siasatan,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau akui sedih kerana polis yang selama ini mempunyai reputasi yang baik diarahkan oleh ahli politik untuk memberi tekanan kepada rakyat.

“Saya harap polis kita tidak diganggu oleh orang politik. Polis ditubuhkan untuk melindungi rakyat tapi jika polis digunakan untuk tekan rakyat maka, rakyat akan jadi takutlah.

“Saya sedar ada orang nak masukkan saya dalam tahanan tetapi sehingga hari ini Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata, saya ada berbilion. Kalau saya ada tunjuklah. Dia (Anwar) mesti tahu sesuatu yang saya tak tahu,” katanya.

Katanya, Anwar mendakwa beliau terbabit dalam rasuah, namun sehingga kini tiada bukti mengaitkan sebaliknya anaknya (Mirzan Mahathir) ditekan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan kenapa hanya dirinya sahaja yang kerap diminta memberi keterangan oleh pihak polis.

“Setiap kali saya beri kenyataan, ada yang buat laporan polis, saya nak tanya kenapa sorang saja, banyak lagi yang buat kenyataan rasis dan 3R (agama, bangsa, raja).

“Nama saya dalam Kertas Pandora atau Kertas Panama pun tiada disebut, ada individu yang disebut dalam itu hanya beri kenyataan sahaja, tapi saya sampai kena beri keterangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya