Saya buat filem sejarah, bukan dokumentari - Pengarah Pendekar Awang - Utusan Malaysia

Saya buat filem sejarah, bukan dokumentari – Pengarah Pendekar Awang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarah dan penulis skrip filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Shaharudin Mat Dali, mendedahkan telah melakukan kajian termasuk menemu ramah waris sebelum menjalankan penggambaran naskhah tersebut.

Menurut Shaharudin, dia berusaha mendapatkan kisah kebangkitan Pahang daripada waris termasuk cucu cicit selain mengunjungi kubur para pejuang di Kampung Budu, Kuala Lipis, Pahang.

“Filem ini memang menampilkan kisah benar sejarah. Cuma beberapa watak fiksyen kita wujudkan namun masih diambil daripada kisah sebenar.

“Contohnya watak Sayang dan beberapa pejuang wanita yang sama-sama menyelamatkan Tok Gajah.

“Menurut kajian saya, semasa penentangan orang Pahang, kaum wanita juga terlibat dan memang ada nisan dan kubur mereka di Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mendedahkan kajian telah bermula sejak skrip filem pertama terbitannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan, Shaharudin telah bertemu beberapa waris Panglima Awang untuk meminta kebenaran.

“Saya juga turun ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga waris. Ketika itulah saya cuba mendapatkan kisah yang tidak pernah diceritakan tentang para pejuang agar lebih menarik.

“Sangat mencabar menghasilkan sebuah filem sejarah di kala cucu cicit mereka masih hidup.

“Namun semua perkara yang ditampilkan dalam filem ini membawa mesej positif dan tidak mengaibkan sesiapa,” jelasnya.

Menyedari beberapa kritikan telah muncul di media sosial walaupun sebelum filem itu ditayangkan, Shaharudin positif agar filemnya dapat menarik perhatian anak muda untuk mendalami sejarah.

“Kami (Studio Kembara) bukan buat dokumentari, kami bikin filem dengan mengambil sebahagian peristiwa untuk diketengahkan.

“Apa yang lebih penting, anak muda akan tertarik untuk mengkaji siapakah pendekar Awang, ada kuda atau tidak di zaman itu atau di manakah Kampung Budu?

“Bagi kami, itu jauh lebih penting kerana kita ada banyak hero yang wujud sepanjang kebangkitan pahlawan di negeri Pahang yang tidak diceritakan,” jelasnya.

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah menceritakan kebangkitan pahlawan Pahang dalam usaha menyelamatkan Tok Gajah daripada penjajahan British.

Turut sama menjayakan filem yang ditayangkan pada 11 Januari itu ialah Fattah Amin, Fazura, Nadhir Nasar, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya