Sasaran mereka adalah saya, bukan empat orang itu - Sanusi

Sasaran mereka adalah saya, bukan empat orang itu – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa beliau adalah sasaran sebenar pihak tertentu yang cuba mencipta plot kononnya berlaku kes rasuah dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, penahanan empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif persatuan itu, Zulkifli Che Haron yang disyaki meminta dan menerima rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanyalah satu bentuk aksesori.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau dijadikan sasaran kerana tindak-tanduknya sebelum ini yang dilihat tidak seiring dengan pihak berkenaan.

“Mereka itu (individu ditahan) semua aksesori saja tetapi sasaran sebenarnya saya. Nak cari kes saya berbulan-bulan pulun, tetapi tak jumpa. Hangpa nak apa? Nak kebenaran atau nak kenakan orang? Kebenarannya hangpa dah jumpa yang Sanusi tak ada kes tetapi diadakan juga.

“Salah satunya mempamerkan persepsi dan membina naratif bahawa di Kedah ini banyak rasuah termasuk dalam bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri di Dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, tindakan itu adalah satu bentuk penganiayaan selain turut memberi kesan terhadap KFA yang sedang menanggung beban hutang serta sedang menampung perbelanjaan bagi pasukan futsal, piala presiden dan belia negeri Kedah.  

“Sebelum ini, ada pihak yang sudah menyatakan persetujuan untuk menyumbang kepada KFA tetapi apabila cerita ini dibuat, mereka jadi takut dan tak mahu beri kerana kononnya berlaku penyelewengan.

“Hakikatnya perkara itu tak berlaku kerana duit tersebut ada dalam KFA tetapi tiba-tiba dituduh rasuah. Kalau duit masuk poket empat orang itu, bolehlah dituduh rasuah tetapi wang itu sebenarnya ada pada KFA dan digunakan untuk bayar hutang, rasuah apa begitu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau tidak pernah dipanggil mana-mana pihak termasuk SPRM untuk diambil keterangan berhubung kes tersebut, namun bersedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya diminta berbuat demikian.

“(Saya bersedia) 28 jam sehari, bila-bila masa saja dan hangpa nak tanya apa mai saya nak jawab. Duit itu pun sebenarnya bukan RM6 juta sebaliknya RM5 juta saja.

“Sepatutnya ada pihak lain yang kena, bukan empat orang ini. Dalam empat orang yang ditahan itu pun, cuma seorang sahaja yang menguruskan KFA manakala tiga yang lain tak ada kaitan dengan KFA,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya