ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa terus bertindak sebagai ‘kaki propa’ yang hanya memalukan diri sendiri apabila membuat kenyataan dengan penuh yakin kononnya kerajaan Perpaduan akan tumbang tidak lama lagi.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu seakan-akan sentiasa cuba mencapai indeks prestasi utama (KPI) setiap bulan dengan melakukan tindakan memalukan diri sendiri di depan khalayak umum.
Dalam keadaan sekarang katanya, rakyat sudah bosan dengan dakwaan kononnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang kerana perkara itu langsung tidak menjadi kenyataan walaupun kepimpinan PN sudah beberapa kali memberikan jangkaan tarikh perkara itu akan berlaku.
“Cerita mereka nak jadi kerajaan ini bukan pertama kali didendangkan. Kalau ini drama televisyen, penonton sudah tentu akan tukar ke siaran lain sebab skripnya sama saja. Sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) pun asyik cakap nak tukar kerajaan tetapi sekarang dah 145 hari tetapi tiada apa pun yang berlaku.
“Beliau sebenarnya takut dengan bayang-bayang PN sendiri. Mereka sedar makin hilang sokongan dan disebabkan itu, masing-masing jadi tak tentu arah serta malu dengan penyokong sendiri hingga mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi yakin kerajaan Perpaduan akan tumbang sebelum berakhir penggal kali ini dan mendakwa mengetahui bila perkara itu akan berlaku tetapi enggan mendedahkannya.
Mengulas lanjut Shaiful Hazizy berkata, selepas PRN, satu demi satu hantaran dibuat di media sosial termasuk kononnya kerajaan akan bertukar pada 31 Ogos lalu.
“Tetapi itu tak berlaku sebaliknya seorang demi seorang Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.
“Kerajaan Madani sangat stabil, bertepatan dengan analogi kerajaan atap konkrit digunakan Perdana Menteri. Parti-parti komponen juga menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bagi malah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendakwa ‘Langkah Dubai’ sebagai membuang masa,” katanya.
Shaiful Hazizy turut mengingatkan Muhammad Sanusi serta kepimpinan PN lain agar rasional dalam membuat kenyataan dan meminta agar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak untuk mengubah kerajaan. – UTUSAN