ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) menegaskan tiada kes penyelewengan atau pecah amanah melibatkan wang bernilai RM6 juta seperti yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tuduhan itu sebaliknya dipercayai berkaitan pinjaman RM5 juta oleh sebuah syarikat yang berminat untuk memiliki saham Darulaman Football Club Sdn. Bhd. (DAFC).
“Pada 2020, Syarikat Tulangis Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Datuk Mohd. Hazarul Ifdaz telah menyatakan minat untuk memiliki saham DAFC. Atas dasar keterbukaan, rundingan berhubung tawaran pemilikan saham telah berlangsung.
“Tulangis bersetuju memberi pinjaman sebanyak RM5 juta yang didepositkan ke akaun KFA pada tahun itu sebagai komitmen bagi pembelian saham DAFC yang bernilai RM30 juta.
“Rundingan seterusnya gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati syarikat itu bermasalah dan proses rundingan dihentikan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pada waktu sama, Syarikat Berjaya Corporation Bhd. muncul dan mendakwa wang RM5 juta tersebut adalah milik mereka.
Katanya, wang itu diberi oleh Berjaya Corporation kepada Tulangis bagi mendorong kelulusan mengadakan kerjasama untuk melaksana atau menyambung konsesi rawatan bekalan air atas nama syarikat lain di Kedah.
“Berjaya Corporation yang tidak pernah berurusan dengan KFA juga menuntut wang yang telah diberikan kepada Tulangis. Surat tuntutan itu disalinankan kepada KFA.
“Memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA. Jadi, pihak yang menipu adalah Tulangis dan yang tertipu dengan janji-janji projek adalah Berjaya Corporation,” katanya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, kedua-dua syarikat tersebut tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan walaupun telah memberi pinjaman berjumlah RM5 juta kepada KFA.
Tambahnya, Tulangis juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba tetapi penilaian Perbadanan Menteri Besar (MBI) selaku pemaju dan pemilik tanah menunjukkan syarikat itu langsung tidak mempunyai keupayaan.
“Tiada penyalahgunaan, songlap, penyelewengan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak dalam KFA melainkan sepenuhnya dibelanjakan untuk persatuan.
“Dakwaan rasuah ini paling luar biasa. Kes disiasat kerana tidak memberi projek sedangkan kes rasuah biasanya disiasat melibatkan pemberian wang atau pemberian projek. Inilah plot yang dimaksudkan iaitu mengada-adakan hal yang tidak ada,” ujarnya. –UTUSAN