YAN: Dua penjenayah bertindak menggunakan alat pemadam api ketika melakukan samun ke atas sebuah kedai serbaneka di Guar Chempedak, dekat sini pada Khamis lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian turut viral di media sosial.
Dalam rakaman tersebut, dua lelaki dilihat meluru masuk ke dalam premis dengan salah seorang daripada mereka terus menyembur dua jurujual wanita yang berada di dalam premis dengan alat pemadam api.
Seorang lagi penjenayah melarikan sejumlah wang tunai dari mesin wang di kaunter bayaran.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada pukul 7.25 malam ketika dua jurujual wanita berada di dalam kedai.
Katanya, akibat kejadian itu, pemilik kedai mengalami kerugian sebanyak RM2,800 selepas peti mesin wang kedai dilarikan oleh dua suspek terbabit.
“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mangsa dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. -UTUSAN