PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mendedahkan sikap pengotor rakyat suka membuang sisa plastik sehingga menyebabkan saliran air tersekat.
Menurut Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan air dalam longkang dan parit tersumbat sehingga boleh berlaku banjir.
“Saya pernah turun meninjau banyak kolam takungan untuk monsun tahun lalu yang air terhalang lama kerana isu sampah plastik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bencana bah yang melanda beberapa negeri sejak bulan lalu mencetuskan tanda tanya apabila banyak kawasan ditenggelami air terlalu lama akibat fenomena banjir termenung.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, usaha mitigasi sisa pepejal seharusnya ditangani awal bermula sebelum terjadi banjir terutamanya di kawasan rendah yang terdedah risiko limpahan air luruan.
Beliau memberikan contoh amalan penggunaan beg plastik untuk pengisian barang runcit atau pembungkusan makanan sewajarnya diganti kepada kaedah lebih mesra alam sekitar.
Menyentuh mesin kitar semula yang dilancarkannya, beliau berkata, produk itu sudah pun ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk menggalakkan lagi budaya kitar semula.
“Kita mahu rakyat buang botol plastik di mesin ini yang ada beri mata ganjaran terkumpul dan kemudiannya boleh ditukar pula dalam bentuk tunai secara e-dompet,” jelas beliau. – UTUSAN