Sambung operasi Ipoh-Langkawi bergantung syarikat penerbangan - Utusan Malaysia

Sambung operasi Ipoh-Langkawi bergantung syarikat penerbangan

LOH Sze Yee (kiri) menyambut pelancong yang tiba menerusi penerbangan pertama sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 di LTSAS di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penyambungan semula operasi penerbangan Ipoh ke Langkawi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) bergantung kepada keputusan syarikat penerbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan syarikat penerbangan berkenaan sebelum laluan yang digantung sementara itu beroperasi semula.

“Berdasarkan laporan yang kita terima, penerbangan tersebut hanya digantung sementara, malah laluan untuk Ipoh ke Langkawi pun masih ada, cuma ia perlu dirujuk semula ke syarikat penerbangan terlibat.

“Ada banyak faktor terlibat antaranya permintaan, harga, stok kapal, masa dan laluan. Jadi, perkara ini rumit sedikit. Apa pun, kita perlukan syarikat penerbangan untuk buat pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut penerbangan pertama meraikan kira-kira 300 pelancong ke Ipoh sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 di LTSAS, sini hari ini.

Menerusi laporan media pada 25 September lalu, Sze Yee berkata, laluan penerbangan Ipoh ke Langkawi bukan ditamatkan sebaliknya digantung buat sementara waktu.

Jelas beliau dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pengoperasian semula laluan penerbangan itu masih belum dikenalpasti dan memerlukan kajian daripada pihak-pihak berkaitan.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, kerajaan negeri masih menunggu keputusan daripada kerajaan Persekutuan untuk menjadikan LTSAS sebagai hab penerbangan serantau.

“Cadangan (menjadikan LTSAS sebagai hab penerbangan serantau) adalah bagi membantu menyelesaikan masalah lapangan terbang lain yang menghampiri kapasiti.

“Sebagai contoh, lapangan terbang yang berhampiran boleh memberi tumpuan kepada penerbangan jarak jauh seperti ke Amerika Syarikat, Timur Tengah atau Eropah.

“Kita telah beri cadangan tapi keputusan adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Jadi sekarang, kita hanya menantikan berita baik daripada mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya