PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Kementerian Sumber Manusia dapat menyalurkan jumlah minimum sekurang-kurangnya RM10,000 kepada setiap kesatuan sekerja yang memohon untuk menyertai inisiatif Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS).
Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, jumlah minimum RM10,000 itu lebih wajar bagi membolehkan program-program oleh pihak kesatuan sekerja dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekali gus mencapai matlamat yang dimahukan kementerian.
“Dengan dana tambahan yang diberikan ini sudah pasti kesatuan sekerja dapat meningkatkan kapasiti mereka untuk menjalankan program, latihan, dan inisiatif yang menyokong kepentingan pekerja serta mempromosikan kesatuan bagi menggalakkan penyertaan pekerja dalam berkesatuan.
“Sebelum ini ada kesatuan yang hanya menerima kurang daripada RM5,000 secara one off dan jumlah tersebut menyukarkan program pendidikan dan berkesatuan dapat dilaksanakan secara komprehensif oleh kesatuan terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong atas inisitif kementerian yang menaikkan peruntukan bagi PHEKS kepada RM5.8 juta pada tahun ini berbanding RM2.6 juta tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan geran PHEKS itu sudah pasti memberi kesan positif kepada kesatuan sekerja di Malaysia terutama membantu menyokong pertumbuhan keahlian selain membantu lebih banyak kesatuan sekerja melaksanakan aktiviti bagi perkembangan pendidikan serta meningkatkan kemahiran warga pekerja.
“Cuepacs yakin bantuan kerajaan dalam bentuk geran ini dapat menggalakkan perkembangan pendidikan dan pembelajaran secara berterusan khususnya bagi meningkatkan kemahiran berkesatuan dalam kalangan pemimpin dan anggota kesatuan sekerja.
“Cuepacs berharap semua kesatuan sekerja terutama daripada kesatuan dibawah gabungan Cuepacs mengambil bahagian sepenuhnya menyertai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia ini bagi membolehkan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui kesatuan masing-masing,” katanya. – UTUSAN