PETALING JAYA: Pemain sayap negara, Safawi Rasid mengakui tidak gentar untuk berdepan Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub hari ini.
Keyakinan itu dilaungkan Safawi kerana pernah memiliki pengalaman menjayakan misi mustahil tersebut iaitu sewaktu menewaskan Korea Selatan di Sukan Asia Indonesia 2018 lalu yang turut dibarisi Son Heung-min.
Meskipun pentas kali ini berbeza, namun sejarah dilakarkan skuad muda itu membuktikan bahawa Malaysia berkemampuan menumbangkan pasukan kuasa besar Asia.
Jelas Safawi biarpun skuad Harimau Malaya sudah tersingkir namun dia dan rakan sepasukan tetap bersemangat kerana tidak mahu pulang ke tanah air dengan tangan kosong.
“Bagi saya kita ada 90 minit tapi kami cuba untuk calarkan reputasi mereka. Kami akan cuba, Insya Allah kerana itu adalah sasaran kami demi maruah negara Malaysia. Oleh itu kita mahu bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu nanti.
“Satu keputusan yang positif (diharapkan), dan bukan satu perkara mustahil untuk kita cuba dapat,” katanya yang bersedia memberi 100 peratus komitmen seandainya diturunkan Kim Pan Gon dalam perlawanan itu.
Berdasarkan rekod pertemuan kompetitif membabitkan skuad senior kedua-dua pasukan, Malaysia dan Korea Selatan sudah bertemu sebanyak 45 kali sejak 1953 di mana skuad kebangsaan hanya mampu mencatat kemenangan tujuh kali dan seri sembilan kali, dengan selebihnya tewas 29 kali.
Kali terakhir pasukan negara merasai kemenangan adalah pada 1985 dalam Kelayakan Piala Dunia apabila jaringan tunggal Dollah Salleh membuatkan Korea Selatan pulang ke Seoul dengan kekecewaan.
Pada temasya Sukan Asia 2018 lalu, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara waktu itu mengejutkan Korea Selatan yang diketuai Heung-min dengan meraih kemenangan 2-1.
Dalam aksi itu, Safawi sendiri meledak dua gol ke atas jaguh Asia itu sekali gus membantu pasukan melangkah ke pusingan kedua sebelum tumbang 0-1 di tangan Jepun.
“Semua orang tahu Son (Heung-min) adalah pemain terbaik. Saya sebenarnya suka bercakap dengan rakan sepasukan sebab saya tahu kalau satu lawan satu mungkin dia (Heung Min) boleh (lepas), tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin dia boleh (dikekang).
“Dia pun manusia biasa, saya berasa kelebihan kita sebab kita bertahan dan dia menyerang. Saya percaya dengan rakan sepasukan dan barisan jurulatih,” ujar Safawi. – UTUSAN