Sabah lulus RUU ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik

Sidang DUN: Sabah lulus RUU ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik

HAJIJI Noor semasa membentangkan tiga RUU dalam sidang khas DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu.

Tiga Rang Undang-Undang yang diluluskan itu adalah RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan kelulusan RUU itu, ia memberi ruang kepada Sabah mengambil alih kuasa mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan secara rasmi.

Beliau berkata, selepas pewartaan enakmen itu, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta-merta.

ECoS telah pun memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Januari tahun lalu.

Katanya, pengambilalihan kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu itu akan memudahkan pelaksanaan pelan bagi menstabilkan bekalan tenaga di Sabah.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi negeri melalui penyediaan bekalan tenaga yang mencukupi, stabil, berpatutan dan mampan seperti dalam Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dibangunkan oleh ECoS dan dilancarkan pada September tahun lalu bagi menyokong pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui ECoS akan memastikan proses pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan secara berkesan dan teratur tanpa sebarang gangguan kepada pihak pemegang taruh dalam industri bekalan elektrik di negeri ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, Datuk Masiung Banah (Gagasan Rakyat-Kuamut) berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana DUN Sabah tidak meluluskan kenaikan tarif elektrik tetapi, sekadar meluluskan pengambilalihan kuasa elektrik yang dahulu di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

“Apa yang kita luluskan pada hari ini tidak ada kenaikan tarif elektrik jadi rakyat di luar jangan takut, jangan gundah gulana, jangan bimbang, kami di DUN tidak luluskan kenaikan tarif elektrik,” katanya semasa perbahasan RUU Bekalan Elektrik sempena persidangan DUN Khas, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN