KOTA BHARU: Seorang lelaki kerugian lebih RM10,000 selepas ikan laga atau betta mati akibat bahang panas selepas rumahnya di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama di sini terbakar hari ini.
Zarizi Dollah, 43 berkata, lebih memilukan lagi apabila induk yang berharga lebih RM1,000 seekor turut mati akibat kebakaran tersebut selain ribuan benih ikan betta.
Menurutnya, bagaimanapun dia lega apabila dua ekor ikan ditempah pelanggan masih selamat walaupun botol digunakan sudah cair.
“Saya baru sahaja meletakkan lima pasang induk untuk proses pembenihan dan pembiakan ikan tetapi kesemuanya mati.
“Saya mulakan perusahaan ini sejak tahun 2018 dan kini buntu memikirkan bagaimana untuk bermula kembali,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Zarizi memberitahu, reda dengan ujian tersebut dan tetap bersyukur apabila semua ahli keluarganya termasuk seorang abang yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar (strok) terselamat dalam kejadian itu.
Menceritakan kembali saat kejadian, Zarizi memberitahu, dia sedang tidur di bilik sebelum dikejutkan oleh kakaknya dan dimaklumkan rumah jiran mereka terbakar dalam kejadian pada jam 8 pagi itu.
“Dalam keadaan cemas kesemua 11 ahli keluarga kami bergegas menyelamatkan diri kerana dapat mengagak api akan turut merebak ke rumah kami berikutan keadaan setiap rumah terlalu rapat antara satu smaa lain.
“Saya juga perlu menyelamatkan abang yang terlantar kerana strok. Dengan bantuan anak sulung saya, kami angkat abang dan bawa keluar rumah menaiki kerusi roda,” ujarnya.
Utusan Online sebelum itu melaporkan, lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah terbakar dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi itu, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri.-UTUSAN