BANGI: Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 bagi pengusaha sawit khususnya pekebun kecil persendirian.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana yang disediakan terdiri daripada 50 peratus komponen geran dan sebahagian lagi adalah pembiayaan kepada pekebun kecil persendirian.
“Penyerahan cek ini telah diluluskan sebanyak RM100 juta bantu pekebun kecil menanam semula pokok-pokok telah dianggap tua.
“Ini adalah peruntukan diberi secara 50 peratus geran dan 50 peratus daripada pinjaman Agro Bank yang kadar faedah 2 peratus.
“Semua tahu kita punya pekebun kecil daripada 5.65 juta hektar, kita ada pekebun kecil 26 peratus. Anggaran pokok telah tua hampir cecah 74,000 hektar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Mockup Cek Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parvee Ghulam Kadir memaklumkan, skim itu bertujuan bagi kerja-kerja penanaman semula sawit untuk pengusaha sawit khususnya pekebun kecil persendirian.
Katanya, dana yang disediakan terdiri daripada komponen geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian.
“Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan ini akan disalurkan sepenuhnya oleh Agrobank.
“Bagaimanapun, bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50 peratus termasuk dua peratus faedah daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan.
“Memanfaatkan pekebun kecil sawit persendirian dengan jumlah keluasan 5,900 hektar,” katanya.
Nilai pembiayaan adalah RM14,000/hektar untuk pekebun kecil sawit di Semenanjung manakala RM18,000/hektar pekebun kecil sawit untuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kombinasi geran dan pembiayaan.
Ia membabitkan untuk aktiviti seperti penyediaan kawasan tanaman, pembelian anak benih sawit berkualiti dan penyelenggaran kebun sehingga umur sawit tiga tahun (36 bulan) selepas tanam. – UTUSAN