KUALA LUMPUR: Risau dengan keadaan kesihatan yang terganggu baru-baru ini, penyanyi, Liza Hanim mengharapkan konsert sulung berskala besarnya, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert Ahad ini berlangsung dengan jayanya.
Liza atau nama sebenar, Haliza Hanim Abdul Halim mendedahkan, dia mula mengalami gejala demam minggu lalu sebelum sakit dada sehingga terpaksa mendapatkan rawatan susulan untuk dua minggu.
“Sebenarnya, saya tak pernah semput. Kalau ikut apa yang doktor cakap, ini memang berpunca daripada virus, tapi tak tahu jenis apa. Dada dan badan sakit. Saya kadang-kadang tak cukup nafas, semput.
“Situasi ini buat saya rasa lain, tapi mahu atau tidak, saya kena teruskan juga. Ini adalah impian yang bakal terlaksana. Saya anggap sahaja ini sebagai dugaan. Itu yang paling merisaukan tetapi setakat ini, bertambah sihat.
“Saya tak pernah kena dan rasa perkara sebegini, ini sesuatu yang baru buat saya. Tapi, saya bersyukur kerana pasukan dan guru vokal, Cikgu Shafie sentiasa membantu serta menjaga saya,” katanya.
Liza berkata demikian ditemui pada sesi latihan hari pertama menjelang konsert di Royal Studio, Ampang Jaya, semalam.
Bakal membawakan lebih 30 lagu dalam konsert tersebut, Liza berkata, dia akan mengikut apa sahaja saranan doktor dalam fasa ini dan berharap kesihatannya dapat kembali pulih sekurang-kurangnya 80 peratus menjelang konsert.
“Apa yang saya kena buat sekarang adalah kena berjumpa doktor dan rehatkan suara. Latihan tetap diteruskan seperti biasa tetapi tidak berlebihan. Saya perlu juga ambil ubat-ubatan yang disarankan.
“Mula-mula saya ingat Covid-19 atau influenza sebab badan memang sakit gila. Namun bila buat pemeriksaan memang bukan berpunca daripada itu. Doktor pun mula-mula keliru juga.
“Setakat ini, kesihatan sayab bertambah baik. Antibiotik sudah habis dimakan, tetapi ada ubat-ubat lain yang diteruskan. Memang kena ambil masa juga. Harapnya, masa konsert semuanya baik-baik sahaja.,” katanya.
Menerusi konsert anjuran LH Media Sdn Bhd bersama Laugh Out Loud Entertainment itu, Liza bakal menyampaikan untaian lagu hit yang dipetik daripada tujuh album dihasilkan sejak bergelar anak seni.
Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang bakal menggegarkan Zepp KL itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.-UTUSAN