'Rindu ayah 24 tahun berakhir’ - Utusan Malaysia

‘Rindu ayah 24 tahun berakhir’

Ayah
MUHAMMAD Sadam Roslan menunjukkan gambar bapanya sambil berada di sisi ibunya dekat Kampung Assam Jawa, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Tiga hari itu detik paling indah dalam hidup saya biarpun air mata kegembiraan ini masih tidak berhenti menitis sehingga kini,”.

Demikian luahan pilu Muhammad Sadam Roslan, 27, yang kali pertama menemui bapa kandungnya selepas terpisah sejak 24 tahun lalu.

Kerinduan penghantar makanan itu terhadap Roslan Mhd. Nur Kasim, 55, yang dijejakinya lebih 20 tahun ternoktah selepas mereka dipertemukan di Tanjung Tiram, Sumatera Utara, Indonesia pada 18 Januari lalu.

Menurut Muhammad Sadam, perasaannya mula membuak selepas membuat panggilan video dengan bapa kesayangannnya itu pada November tahun lalu ketika pernikahan abangnya, Muhamad Shahrul Nizam, 28.

“Selama ini saya memang tidak pernah sekalipun melihat wajah ayah dan amat teruja untuk menemuinya. Menerusi bantuan sepupu perempuan di Indonesia, saya berangkat menerusi penerbangan dan menetap selama tiga hari di Sumatera,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Assam Jawa, hari ini.

Terdahulu, pertemuan menyayat hati antara dua beranak itu tular di media sosial terutama di negara jiran berkenaan dengan turut memaparkan Muhammad Sadam tidur di pangkuan bapanya.

Usaha itu berhasil selepas sepupunya, Rahmayani Sulaiman, 33, yang menetap di Indonesia berjaya mengesan keluarga Muhammad Sadam tahun lalu dan mengatur pertemuan tersebut.

Sehingga kini, video pertemuan menerusi aplikasi TikTok atas akaun ‘Babybrown911’ itu mendapat tujuh juta tontonan dan lebih 500,000 tanda suka.

Jelas Muhammad Sadam, dia tidak pernah menyimpan dendam kepada bapanya itu biarpun ditinggalkan sejak berusia tiga tahun.

“Sejak kecil, saya memang berasa sunyi kerana tiada ayah seperti kanak-kanak lain namun lama kelamaannya ia menjadi biasa. Kini, kerinduan itu akhirnya berbalas dan ayah turut sudah meminta maaf atas tindakannya sebelum ini,” luah anak bongsu daripada dua beradik itu.

Tambahnya, dia kini menjaga ibunya, Fadliaton Abdul Malik, 56, yang terlantar sakit akibat mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak tiga tahun lalu.

“Bagi saya, ibu bapa adalah segalanya dan akan menjaga mereka selagi hayat ini di kandung badan. Saya juga bercadang untuk terus menziarah ayah sekiranya diberikan rezeki dan kesempatan oleh Allah selepas ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya