IPOH: Ribuan penganut agama Hindu membanjiri Kuil Sri Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheroh di sini hari ini, bagi menyambut perayaan Thaipusam.
Suasana meriah itu bermula sejak petang semalam apabila penganut agama Hindu memenuhi pekarangan kuil bagi menghormati hari kelahiran Dewa Murugan.
Malah seawal pukul 7 pagi, pengunjung telah tiba bagi menyaksikan perarakan kavadi yang dibawa masuk ke Kuil Sri Subramaniar dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong dan kuil-kuil berdekatan.
Acara tersebut bukan sahaja menarik kehadiran warga tempatan pelbagai kaum, malah pelancong asing yang rata-rata teruja menyaksikan perayaan itu secara langsung.
Seorang pelancong dari China, Zhang Hua Ru, 30, berkata, dia tertarik untuk menyertai sambutan Thaipusam setelah melihat ramai orang berarak di hadapan hotel penginapannya dengan memakai pakaian tradisional dan berwarna-warni.
Katanya, dia juga teruja apabila melihat ada antara mereka menjunjung kavadi selain belanga berisi susu menuju ke kuil.
“Ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan tidak pernah tahu pun mengenai perayaan ini. Selepas cari maklumat di internet, saya jadi tidak sabar untuk ikut perarakan.
“Saya juga teruja melihat ramai orang menari dan menyanyi sambil memakai pakaian berwarna-warni. Ini pengalaman yang sangat menyeronokkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kuil Sri Subramaniar di sini hari ini.
Sementara itu, pasangan suami isteri dari Belanda, Ids Van Dussen, 70, dan Lydia Lepez, 69, berkata, mereka merasai pengalaman menarik pada sambutan Thaipusam di negeri ini apabila diberi peluang berarak bersama pembawa pedati.
Malah katanya, mereka berasa gembira apabila penduduk tempatan juga amat ramah dan tidak lokek memberi makanan dan minuman.
“Perayaan ini sangat unik dan mengagumkan. Walaupun cuaca panas, ia tidak menghalang kami untuk tunggu perarakan sehingga habis,” ujar lydia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dianggarkan lebih 350,000 pengunjung akan hadir di kuil tersebut sepanjang tiga hari bagi membayar niat dan menebus dosa.
Katanya, bagi menjaga keselamatan pengunjung, seramai 627 petugas terdiri daripada 41 pegawai kanan dan 586 anggota diatur gerak sepanjang perayaan tersebut berlangsung.
“Setakat ini, tiada insiden berlaku dan semua berada dalam keadaan baik. Saya memberi jaminan kepada semua pengunjung bahawa mereka boleh membuat lawatan dan pergerakan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN