KUALA TERENGGANU : Kebanyakan restoran, kedai makan serta gerai makan milik orang Islam di Terengganu mematuhi arahan penutupan premis pada hari Jumaat bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bermula hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pusat bandar, hari ini mendapati peniaga mula menutup premis mereka pada pukul 12.30 seperti yang diarahkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengusaha restoran Z Bajet, Muslim Muhamed berkata, mereka akur dengan arahan itu walaupun masih ramai pengunjung yang datang untuk menjamu selera kerana tidak mengetahui arahan penutupan tersebut.
Menurutnya, sebelum ini, Z Bajet tetap beroperasi dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat dengan semua pekerja yang terlibat adalah wanita.
“Semua pekerja lelaki akan pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat manakala pekerja wanita berada di restoran untuk melayan pelanggan.
“Namun, dengan arahan terbaharu ini, kami terpaksa menutup operasi restoran pada waktu yang ditetapkan dan memberi penerangan kepada pelanggan untuk datang semula pada pukul 2.30 petang.
“Saya berhasrat untuk membuat permohonan khas kepada MBKT untuk beroperasi pada waktu tersebut dengan hanya pekerja perempuan sahaja melayan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, pengusaha kafe Ziq Bakery & Cake, Suzana Salleh pula berkata, beliau memang menutup sementara operasi selama dua jam pada hari Jumaat untuk memberi laluan kepada pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat.
“Waktu operasi akan diteruskan pada 2.30 petang hingga 10.30 malam dan setakat ini pelanggan sudah maklum mengenainya,” katanya yang mempunyai dua cawangan iaitu Kuala Terengganu dan Gong Badak.
Baru-baru ini, MBKT mengingatkan pengusaha restoran, kedai makan dan gerai makan milik orang Islam agar mematuhi arahan tersebut dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan lesen perniagaan.
Katanya, sebarang ketidakpatuhan kepada syarat-syarat peraturan itu akan menyebabkan premis perniagaan mereka dikompaun sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan dengan merujuk kepada Undang-Undang Kecil berkaitan diguna oleh MBKT. – UTUSAN