PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum memutuskan representasi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan beliau daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob ketika memaklumkan demikian kepada Mahkamah Rayuan hari ini, memohon tarikh rayuan yang telah ditetapkan pada 18 Mac lalu, dikekalkan.
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah mengekalkan tarikh tersebut.
Pada prosiding itu, Zander Lim turut hadir mewakili pihak pendakwaan manakala Timbalan Perdana Menteri diwakili barisan peguam diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sebutan bagi membolehkan pihak-pihak mengemas kini mahkamah berhubung status representasi Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid, 71, mengemukakan representasi kepada AG pada Januari 2023 untuk pertimbangan AGC untuk tidak meneruskan rayuannya.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Presiden UMNO itu menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – UTUSAN