KUALA LUMPUR: Lagu Selimut Kasih nyanyian kumpulan Inteam menepati ramalan apabila diangkat sebagai juara Anugerah Carta 114 yang berlangsung semalam.
Dipersembahkan secara solo oleh salah seorang anggotanya, Hisyam Ahmad, Inteam menerusi kemenangan tersebut membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi.
Hisyam semasa sidang media memaklumkan semangat anggota Inteam yang kini berada di Lubnan untuk misi kemanusiaan turut disematkan ketika dia menyampaikan lagu tersebut malam semalam.
“Alhamdulillah, walaupun anggota lain tidak berada bersama saya di sini, saya akan rakam setiap kali membuat latihan dan kongsikan kepada mereka untuk dapatkan pandangan dan komen.
“Lagu ini dinyanyikan secara berempat, tapi dalam pertandingan ini saya nyanyikan secara solo. Memang mencabar. Apa pun saya persembahkan mengikut kemampuan sendiri.
“Yang saya fokuskan adalah untuk sampaikan mesej dan suntik sebanyak mungkin perasaan agar penonton merasakan apa yang saya rasa ketika menyanyikannya. Alhamdulillah, yang dipersembahkan adalah hasil usaha kami semua,” katanya.
Hisyam merangkul kemenangan berganda apabila turut memenangi anugerah vokal terbaik anugaerah berkenaan. Kemenangan tersebut melayakkan dia membawa pulang RM10,000 berserta trofi.
Sebanyak 74 lagu telah disaring sebelum pemilihan enam karya yang layak ke peringkat akhir.
Lima lagu lain yang berentap pada pentas akhir malam tadi antaranya Laila Majnun yang dipersembahkan kumpulan One Path dan Azwan Fareast, Hanya Kamu (Fitri Haris), Si Bujur Sirih (Ustaz 3 Beradik), Hadirmu (Shidee Khayran) dan Linangan Laduni (Darwish).
Sementara itu, Ustaz 3 Beradik tidak pulang dengan tangan kosong apabila menguasai kategori persembahan terbaik sekaligus melayakkan mereka menerima RM10,000 berserta trofi.
Penulis lirik terkenal, Mohd Radzi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ito Lara pula mencatat momen istimewa menerusi penerimaan Anugerah khas Carta 114, melayakkan beliau menerima RM5,000 berserta trofi.
Dalam pada itu, Farihin Abdul Fatah selaku ketua juri tidak menolak mesej lagu Selimut Kasih yang bersesuaian dengan isu semasa menjadi sebahagian faktor yang melayakkan lagu itu diangkat juara.
“Karya ciptaan Syah Inteam dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya itu relevan dan sarat dengan mesej bersifat global. Ditambah lagi dengan susunan muzik dan penyampaian vokal Hisyam yang tepat dan jelas.
“Selain itu, pengalaman. Persiapan Inteam sebelum membuat persembahan, Masya Allah. Jadi pengalaman mereka antara yang membantu melayakkan kemenangan pada malam ini,” kongsinya.
Anugerah Carta 114 yang julung kali dianjurkan turut dijurikan Amran Omar dan Lah Ahmad selaku juri jemputan.
Kemeriahan penganjuran diserikan dengan persembahan istimewa Aris Ariwatan, Amir Ukays, Syafiq Farhain dan Raihan. Majlis penganugerahan itu dihoskan Jalal Zaiki dan Amin Idris.