Di kala ramai wanita muda masa kini seakan tiada segan silu dan sanggup menjadi perosak rumah tangga orang lain, pelakon dan penyanyi popular era 80-an, Raja Ema, bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza apabila menyentuh mengenai soal perkahwinan.
Mengakui pelik dengan selera wanita yang seakan tidak kisah bergelar orang ketiga, dia yang telah 25 tahun hidup menjanda, bagaimanapun tidak pernah terlintas di hatinya untuk menjalin hubungan cinta atau berkongsi hidup dengan suami orang.
Kata Raja Ema, di usia yang menjengah angka 56 tahun ini, dia melihat cinta kepada Allah SWT dan diri sendiri itu lebih utama berbanding sibuk mencari cinta dengan lelaki apatah lagi hingga sanggup menganiaya wanita lain dengan menjadi ‘perampas suami orang’.
“Saya ini, bukanlah nak kata tiada yang mendekati. Tipu kalau saya cakap tak ada sejak hidup solo lebih 20 tahun ini. Tetapi entahlah, saya anggap diri saya ini seorang yang pentingkan diri, selfish.
“Bagi saya, buat apa saya nak berkongsi ruang dan masa dengan orang lain? Tahu tak betapa seronoknya ada masa ‘me time’ itu. Saya nak waktu untuk diri sendiri sahaja.
“Entahlah, agaknya kerana saya ini sudah terlalu lama hidup sendiri jadi sudah rasa selesa begini. No more jejaka idaman! Saya lebih rela menjanda daripada jadi isteri kedua,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, kata penyanyi yang pernah menyandang gelaran Cyndy Lauper Malaysia ini, dua anaknya, Putera Ammar, 31, dan Putera Al Kashah, 28, tidak pernah menyekat keinginannya untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.
Namun, kata Raja Ema, dia memilih untuk enggan lagi hidup berteman lelaki bergelar suami memandangkan baginya, bersendirian itu lebih tenang.
“Anak-anak pernah cakap, terpulang kepada saya jika nak kahwin lagi. Tetapi saya ini seorang yang berfikir panjang.
“Misal katalah memang saya nak kahwin, kalau saya cakap suka dengan seseorang itu, nanti anak pula tak suka atau lelaki itu tak okey dengan anak kita, bukankah memeningkan?
“Saya pun tak nak susahkan orang. Biarlah kita dengan kehidupan begini. Adakala, kalau yang mendekati itu pun, kita belum tentu tahu sama ada dia benar-benar jujur atau ikhlas dengan kita.
“Saya sendiri pun dah pernah berkahwin dan bercerai, jadi rasalah juga serik itu,”katanya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi lagu nusantara, Sheqal pada 1993.
Bagaimanapun, perkahwinan tersebut cuma bertahan selama enam tahun sebelum kedua-duanya membuat keputusan untuk berpisah pada tahun 1999.
Bahagia menetap di Melaka
Dalam pada itu, menurut anak kelahiran Pahang ini, dia yang kini menetap di Melaka bersama dua anaknya itu mengakui lebih selesa meninggalkan kesesakan dan hiruk pikuk kota Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.
Mengakui tenang membina hidup di Melaka, kata Raja Ema, lokasi itu lebih strategik untuk kemudahan dan urusan perniagaan acar buahnya yang telah dijalankan sejak bertahun-tahun lalu.
“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, saya ini rajin pergi ke Singapura untuk berniaga. Sebenarnya, saya ini memang berminat berniaga sejak umur 20 tahun. Ingat lagi, bila dapat kumpul duit, saya ada buat bisnes kecil-kecilan.
“Tetapi disebabkan sibuk pula dengan penggambaran waktu itu, saya terpaksa jual bisnes itu.Kemudian saya bina semula perniagaan saya pada tahun 2013.
“Ya, buat masa ini, boleh dikatakan saya selesa menetap di Melaka. Lebih memudahkan untuk saya,”katanya.
Bagaimanapun, kata anak Allahyarham Seniwati Yusni Jaafar ini, dia tidak kisah untuk berulang alik ke mana-mana sekiranya ada menerima undangan menyanyi atau persembahan.
“Saya lebih suka bergerak ke mana-mana andai ada undangan. Lagipun memang tak ada hasrat nak berpindah lagi, penat juga. Semua kemudahan ada di Melaka termasuklah studio memasak acar buah saya,”katanya.