PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah perkara yang mustahak.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi menjaga kedaulatan dan Raja-raja Melayu.
“Ia sangat mustahak kerana melibatkan sempadan yang menyentuh kedaulatan Raja-raya Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, anggota RCI ini akan dipersembahkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum diumumkan.
Hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang mana cadangan keanggotaan suruhanjaya itu akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN