Rayuan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram 26 Mac

Rayuan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram 26 Mac

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mencabar pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah yang dihadapinya, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 26 Mac ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu berkata, rayuan di Mahkamah Persekutuan akan didengar terlebih dahulu sebelum prosiding di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dihadapinya, dimulakan.

Beliau berkata, oleh yang demikian tarikh baharu prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan masih belum ditetapkan sementara menunggu prosiding di Mahkamah Persekutuan, dilupuskan.

“Sebutan rayuan di Mahkamah Rayuan dijadualkan semula pada 8 Februari ini. Kena dengar rayuan di Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu sebelum tetapkan tarikh pendengaran di Mahkamah Rayuan,” katanya kepada pihak media hari ini.

Rosmah merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 22 Jun 2023 menolak rayuannya bagi kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Pada 7 Julai 2023, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M. Komathy membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan kes solar.

Keputusan itu dibuat selepas seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memohon prosiding di Mahkamah Persekutuan dilupuskan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan selama empat hari bermula 11 Julai 2023 untuk mendengar rayuan berkenaan.

Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 73, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, selain didenda RM970 juta atau penjara 10 tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya