KOTA DAMANSARA: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan menganjurkan program Semarak Kasih Ponggal bagi menyemarakkan lagi sambutan Perayaan Ponggal di kawasan Parlimennya.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengagihkan tebu dan kit ponggal kepada lebih 3,000 penduduk masyarakat India daripada kumpulan B40.
Menurutnya, program pengagihan tebu dan kit ponggal itu dilaksanakan sejak tahun lepas setelah beliau dipilih sebagai ahli Parlimen di kawasan itu.
“Program semarak kasih ponggal membolehkan masyarakat India menyambut perayaan ponggal dalam suasana ceria, sejahtera dan gembira,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan kit ponggal di Pangsapuri Tanjung Seksyen 6 di Kota Damansara hari ini.
Beliau turut mengedarkan kit ponggal di Pangsapuri Cempaka Seksyen 6, Gugusan Kekwa , Seksyen 7 , PPR Kota Damansara dan secara keseluruhan di 15 lokasi termasuk di sekitar kawasan Paya Jaras.
“Bersempena masyarakat India Malaysia menyambut bulan Thai yang menandakan suatu permulaan baharu pada Isnin depan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Ponggal Vaalthukal’ dan semoga ia membawa limpahan kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan,” katanya.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 2 PKR berharap masyarakat India di Malaysia menjadikan sambutan perayaan musim menuai itu satu permulaan baharu bagi kaum itu lebih maju dan berjaya.
Ia bertepatan dengan ungkapan ‘Thai piranthal vazhi pirakkum’ (kemunculan bulan Thai dipercayai bakal membuka jalan bagi peluang-peluang baharu).
Ramanan berkata, rakyat Malaysia perlu melihat semula perjalanan sebagai sebuah negara bangsa ini telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, hamoni dan semakin progresif hari ini dan sudah tentu peranan masyarakat India dalam kemajuan negara cukup signifikan.
“Bersempena sambutan perayaan Ponggal tahun ini, marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman di kalangan kita seiring dengan gagasan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. –UTUSAN