TERKEJUT juga Poklip bila melihat garis masa media sosial, X dipenuhi dengan ‘luahan’ beberapa pengguna yang berkongsi teman lelaki yang sama. Yelah, sekarang kan memang era penyondol di sana sini.
Sudah macam trend pula kan. Sudahlah menyondol, ada pula yang tanpa segan silu berkongsi memori berkasih walaupun tahu pasangannya itu milik orang lain. Tak faham bagaimana manusia boleh berperangai begitu.
Berbalik kepada luahan beberapa wanita itu, bila Poklip tenung gambar teman lelaki yang dikongsikan itu, rupanya penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun. Lah, ramainya teman wanita Aziz.
Tapi bila baca betul-betul, itu sebenarnya hanyalah perkongsian peminat-peminatnya yang meletakkan gambar berukuran pasport wajah Aziz di dompet mereka. Boleh tahan juga obsesi peminat Aziz.
Walaupun ada juga beberapa respons yang mempersoalkan tindakan tersebut, tetapi selagi tidak membawa kemudaratan yang salah dari segi undang-undang manusia dan hukum hakam Islam, mungkin tidak mengapa kot.
Bagi mereka itu mungkin satu doa yang mahu termakbulkan oleh Tuhan. Yelah, siapa tahu jodoh anda sebenarnya Aziz Harun, penyanyi bersuara merdua dan lembut sahaja. Orangnya pun sopan santun.
Tetapi kalau melampau-lampau, baik Aziz sendiri boleh ambil tindakan berhati-hati dari awal. Bukan apa, di kala ini, kegilaan terhadap selebriti kesayangan boleh menjadi-jadi. Kalau di Korea Selatan, orang panggil sasaeng fan.
Ada kes sampai mengekori sampai ke rumah, tempat lepak dan menganggu urusan harian sehingga menimbulkan rasa trauma serta ketakutan. Tetapi setakat ini, tak ada pula kes sebegitu dalam kalangan peminat industri seni tempatan.
Cuma dalam pada masa yang sama, biarlah minat itu tidak tertakluk kepada paras rupa dan personaliti semata-mata. Sokonglah karya dan produk seni Aziz. Sebab ada juga yang tertanya-tanya tau.
Nama tidaklah segah mana, tetapi peminat dan kegilaan mereka boleh tahan ya. Hello, itu namanya peminat sejati. Minat dari awal kemunculan sehingga kini. Tapi ingat, jangan melampau tau. Takut makan diri.