RAUB: Rakyat menaruh harapan tinggi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dapat mengelak ketirisan dan pembaziran dana Kerajaan.
Ketua Peneroka Felda Krau, Zakaria Saparon,60, menyambut baik program PADU ini bagi membolehkan data pribadi rakyat dapat memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kewangan atau subsidi kepada golongan sasar.
“Saya bersedia membantu kerajaan menerangkan kebaikan pendaftaran PADU kepada anak buah yang kebanyakannya masih keliru dan tidak dapat gambaran sebenar program ini dalam jangka Panjang,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Penerangan Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Krau 1 di sini ini hari ini.
Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pahang Fadzli Mohamad Kamal.
Ketua Penerokawati Felda Krau 1, Mekyah Jusoh,69, berkata, yakin dengan keikhlasan Kerajaan untuk memastikan mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan kerajaan pusat.
“Pangkalan data rakyat yang memaparkan pendapatan bulanan secara langsung dapat menentukan kelayakan individu mendapat pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan Madani.
“Saya harap selepas ini tidak ada lagi berlaku ketirisan dan pembaziran wang kerajaan apabila individu sama mendapat bantuan dari agensi berbeza kerana ketiadaan keselarasan pangkalan data,“ katanya.
Bagi Rozali Hassan, 64, dia berharap cara pengisian borang dalam portal PADU dipermudahkan kerana bagi yang tidak celik teknologi maklumat ianya sangat menyusahkan kerana banyak yang perlu diisi.
Dalam pada itu, Fadzli berkata, pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) diperlukan bagi membantu pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kira-kira 1.1 juta penduduk Pahang yang dijangka berakhir 31 Mac.
Beliau mengakui kerjasama NGO penting demi kelancaran proses pendaftaran dan tidak ada yang tercicir dalam tempoh berkenaan.