PETALING JAYA: Semua rakyat Malaysia di Yaman diberi pilihan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau pulang ke Malaysia secara sukarela jika merasakan keselamatan diri terancam ekoran perkembangan tindakan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS menyasarkan kawasan kawalan Houthi.
Kementerian Luar memaklumkan, pihaknya memantau dengan teliti perkembangan di Yaman, khususnya keadaan rakyat Malaysia yang menetap di negara tersebut, berikutan tindakan ketenteraan AS itu baru-baru ini.
Kata kenyataan kementerian berkenaan, berdasarkan rekod, terdapat 376 rakyat Malaysia yang telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat.
“Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman sentiasa berhubung dengan rakyat
Malaysia di Yaman, dan melaporkan semua mereka berada dalam keadaan selamat. Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Luar ingin menasihati rakyat Malaysia di Yaman untuk terus berwaspada dan peka terhadap keselamatan diri.
“Sekiranya merasakan keselamatan diri terancam dengan situasi semasa, rakyat Malaysia juga boleh memilih untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau pulang ke Malaysia secara sukarela,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.
AS dan Britain melancarkan serangan terhadap sasaran ketenteraan kumpulan bersekutu Iran sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal komersial di Laut Merah yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.
Kerajaan AS minggu lalu juga mengembalikan Houthi ke dalam senarai kumpulan pengganas ketika Washington cuba membendung serangan ke atas perkapalan antarabangsa di Laut Merah.
Houthi berkata, serangan mereka adalah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin ketika Israel menyerang Gaza.
Dalam pada itu, Kementerian Luar menyarankan supaya rakyat Malaysia di Yaman segera mendaftarkan diri jika masih belum berbuat demikian.
Kedutaan Besar Malaysia di Muscat boleh dihubungi melalui butiran seperti Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman beralamat di Villa No. 2443, Way 3030 Shatti Al Qurum, P.O. Box 51, Bareeq Alshati Muscat atau menerusi talian 96824698329/96871592388 atau emel, [email protected]. – UTUSAN