BATU GAJAH: Tahun Melawat Perak 2024 yang menyasarkan kedatangan pelancong lebih lapan juta orang ke negeri ini dilancarkan secara rasmi.
Pelancaran dibuat di Silverlakes Village Outlet (SVO), di sini semalam sebelum detik pukul 12 malam memasuki tahun 2024 semasa sambutan ambang tahun baharu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kali terakhir Tahun Melawat Perak ialah pada 2017 dan mengikut perancangan, kempen sama akan diadakan semula pada tahun 2022 namun ditangguhkan akibat wabak Covid-19.
Beliau mengharapkan rakyat Perak turut berperanan sebagai duta bagi menjayakan usaha tersebut.
“Kita semua adalah duta-duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung. Kita adalah duta-duta negeri untuk mempromosikan sejarah, budaya dan keunikan yang ada di negeri kita. Kita adalah jurucakap yang menghebahkan mengenai pesona, keindahan dan keunikan negeri kita.
“Manfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong. Kongsikan mengenai kelazatan makanan, keunikan kegiatan budaya serta program-program menarik yang disusun sepanjang kalendar pelancongan 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum melancarkan inisiatif itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta barisan pentadbiran kanan negeri.
Saarani berkata, pemilihan SVO sebagai lokasi pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 mempunyai makna tersendiri kerana ia merupakan tarikan terbaharu pelancongan Perak yang berada berhampiran dengan Kellie’s Castle dan Galeri Rumah Lat.
Tambahnya, pelaksanaan Tahun Melawat Perak 2024 diluluskan pada Mei lalu dengan tambahan peruntukan sebanyak RM7 juta bagi merangsang aktiviti promosi dan pengiklanan serta projek-projek kecil infrastruktur pelancongan di seluruh negeri.
Kata beliau, pembentangan Belanjawan Negeri 2024 telah diumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Tourism Perak, bagi menjayakan kempen tersebut merangkumi kos pengurusan, penganjuran pelbagai acara domestik dan antarabangsa serta aktiviti promosi dan pemasaran.
Saarani berkata rakyat Perak perlu bersama-sama menggembleng ikhtiar untuk menjayakannya memandangkan setiap daerah memiliki keistimewaan masing-masing.
“orang Ipoh boleh bercerita tentang keunikan bandaraya Ipoh apabila pernah diiktiraf oleh Lonely Planet sebagai 10 lokasi di Asia yang mesti dilawati, manakala orang Taiping berkempen mengenai kecantikan Taiping yang pernah dinobatkan bandar ketiga terbaik dari senarai 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia,” katanya. – UTUSAN