PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang lelaki warganegara Indonesia selepas mengetepikan hukuman mati kerana membunuh teman wanita dengan menjerutnya menggunakan wayar kabel, tujuh tahun lalu.
Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis tempat kejadian yang diperolehi pihak polis menunjukkan Ermiadi menjerut leher mangsa sehingga tidak sedarkan diri. Mayat mangsa yang telah reput kemudian ditemukan dalam sebuah beg di bilik berkenaan.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memerintahkan Ermiadi menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan pada 17 Oktober 2017. Perayu turut dikenakan 12 sebatan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara berpuas hati bahawa sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan, adalah selamat untuk dikekalkan.
Ermiadi, 32, disabitkan membunuh teman wanita senegaranya, Romsari Sitanggang di sebuah unit rumah kedai yang menjalankan perniagaan judi dalam talian di Rawang dekat sini di antara pukul 6.46 pagi dan 8 pagi, 12 Oktober 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Mahkamah Tinggi mensabit dan mengenakannya dengan hukuman mati. Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan itu.
Keterangan kes menunjukkan Romsari yang juga rakan sekerja Ermiadi meluangkan masa bersama di salah sebuah bilik di premis berkenaan pada malam 11 Oktober 2017. Ermiadi menetap di bilik itu bersama seorang rakan.
Dua hari kemudian, penyelia premis yang juga menyewa salah satu bilik di unit berkenaan menghidu bau busuk daripada bilik Ermiadi dan bersemuka dengan perayu bertanyakan bau tersebut namun lelaki itu memberi alasan ia bau bangkai tikus.
Penyelia tersebut selanjutnya memaklumkan kepada pemilik premis berhubung bau busuk berkenaan.
Rakan sebilik perayu yang kemudian memasuki bilik terlihat kesan darah pada lantai serta ‘sesuatu’ dibalut dengan selimut.
Keterangan kes turut menunjukkan, mangsa diserang berkali-kali sebelum perayu menghampirinya dari belakang dan menjerutnya dengan wayar kabel sehingga wanita itu tidak mampu mempertahankan diri.
Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan dada manakala dua tulang rusuknya retak.
Keterangan pakar patologi pula menyatakan, perayu berniat menyebabkan teman wanitanya menderita sebelum meletakkannya dalam beg yang terlindung di bawah selimut.
Pada prosiding itu, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Ermiadi berhujah agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman mati, memadai dengan hukuman penjara 30 tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara di antara 33 dan 35 tahun. – UTUSAN