Raih RM15,000 seminggu jual produk tiruan jenama terkenal melalui 'live' - Utusan Malaysia

Raih RM15,000 seminggu jual produk tiruan jenama terkenal melalui ‘live’

S. JEGAN (kiri) menunjukkan sebahagian daripada barangan tiruan berjenama terkenal yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah kediaman elit di Simpang Ampat, SPS, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Sepasang suami isteri mampu menikmati gaya hidup mewah apabila meraih pendapatan hingga mencecah RM15,000 seminggu dengan hanya menjual pelbagai produk tiruan berjenama terkenal melalui ‘live’ atau siaran langsung menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah kediaman elit di Simpang Ampat di sini, hari ini.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan itu dibuat hasil intipan selama seminggu susulan aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang jenama terkenal terbabit.

S. JEGAN menunjukkan sebahagian daripada barangan tiruan berjenama terkenal yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah kediaman elit di Simpang Ampat, SPS, Pulau Pinang, hari ini.

Katanya, selain pasangan suami isteri warga tempatan yang masing-masing berusia 26 dan 31 tahun itu, pihaknya turut menahan dua pekerja yang ketika itu sedang memunggah barang untuk dijual.

“Modus operandi mereka ialah menjalankan perniagaan dan penjualan produk tiruan berjenama terkenal ini secara dalam talian iaitu melalui ‘live’ dengan menggunakan aplikasi media sosial.

“Siasatan mendapati, barang tersebut akan dibida melalui ‘live’ dan ada yang mencapai harga sehingga RM1,400 (untuk satu produk).

“Kebiasaannya, setiap kali ‘live’ mereka mampu memperoleh sehingga RM5,000 dan dalam seminggu, pasangan tersebut akan ke ‘udara’ sekurang-kurangnya tiga kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.

Jegan memberitahu, secara keseluruhannya, KPDN Pulau Pinang telah menyita sebanyak 1,437 unit barangan termasuk beg tangan, dompet, gelang tangan, minyak wangi, tuala dan selimut yang menggunakan cap dagangan berdaftar dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM70,250.

Katanya, antara jenama terkenal itu termasuk Louis Vutton; Chanel; Christian Dior; Gucci; Yves Saint Laurent (YSL); Balenciaga dan Celine yang kesemuanya disyaki palsu.

BEBERAPA anggota KPDN Pulau Pinang mengangkat pelbagai kotak berisi barangan tiruan berjenama terkenal dari sebuah kediaman elit di Simpang Ampat, SPS, Pulau Pinang, hari ini.

Jelasnya, kesemua barang berkenaan diambil dari Guangzhou, China untuk pasaran tempatan termasuk menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Berdasarkan siasatan kita, premis yang diserbu ini baru empat bulan beroperasi dan disewa dengan harga RM1,800 sebulan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati, mereka pernah menjalankan perniagaan ini di Parit Buntar (Perak) sebelum ini,” katanya yang memaklumkan, pihaknya berdepan kesukaran untuk membuat intipan dan serbuan sebelum ini kerana kawalan keselamatan yang tinggi di kawasan perumahan terbabit.

Dalam pada itu, Jegan berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, sabit kesalahan bagi bukan pertubuhan perbadanan, denda sehingga RM10,000 boleh dikenakan untuk setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar selain hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun boleh dikenakan,” katanya yang memberitahu, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda sebanyak RM15,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan berganda kepada RM30,000 untuk kesalahan kedua dan seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya