PETALING JAYA : Tindakan pusat urut dan dandanan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru menggajikan warga asing bagi menarik pelanggan dan mengaut keuntungan berganda terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu premis berkenaan kelmarin.
Menerusi Op Gegar dan Op Dandan kira-kira pukul 3.20 petang itu, seramai 67 warga asing termasuk 39 wanita berusia antara 19 hingga 42 tahun ditahan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun disyaki penjaga premis bersama seorang wanita warga Vietnam berusia 32 tahun juga ditahan.
Kata beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada 34 warga Myanmar; Vietnam (16); Indonesia (14) dan seorang warga Filipina.“Hasil semakan awal mendapati warga asing itu menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dimiliki untuk bekerja dengan majikan lain, selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslin berkata, soal siasat mendapati warga asing terbabit dibayar gaji antara RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan oleh majikan.
Malah, katanya, premis yang dipercayai beroperasi lebih setahun mampu menjana pendapatan kira-kira RM140,000 sehari dan boleh mencecah RM4.2 juta sebulan.
Dalam serbuan itu, beliau berkata, pasukan merampas pelbagai barangan termasuk peralatan mengurut, tuala, peralatan perawatan kuku, telefon bimbit, buku rekod pelanggan dan wang tunai RM844.00.
“Kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Setia Tropika bagi siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan seorang wanita warga Vietnam ditahan mengikut Seksyen 55B akta sama, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Kata beliau, sebanyak 13 notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu berkaitan bagi membantu siasatan.
“JIM tidak berkompromi dengan warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan diberikan dan pemilik premis atau majikan juga boleh dikenakan tindakan pendakwaan jika menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas sah,” katanya. – UTUSAN