GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedang meneroka potensi untuk menambah tiga penerbangan antarabangsa terus yang baharu ke negeri itu iaitu dari India; Shanghai (China), dan Dubai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memperkukuhkan rangkaian penerbangan antarabangsa terus ke Pulau Pinang bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri itu.
”Kerajaan negeri sedang menjalankan rundingan dengan syarikat penerbangan dari Shanghai, China, untuk membincangkan potensi pembukaan laluan terus dari Shanghai ke Pulau Pinang.
”Hubungan yang terjalin ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pasaran China,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hong Wai, pada awal bulan ini juga, pihaknya telah memimpin wakil industri pelancongan Pulau Pinang untuk melawat Xiamen, China dan bertemu dengan pihak Xiamen Airlines untuk menjalankan aktiviti pemasaran bersama.
”Kami juga mengadakan pertemuan dengan pihak atasan Xiamen Airlines di ibu pejabat mereka untuk membincangkan mengenai penambahbaikan laluan baharu dari Xiamen ke Pulau Pinang yang telah dimulakan pada September 2023.
”Kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam penambahbaikan laluan penerbangan yang penting ini yang menghubungkan Malaysia dengan China,” katanya.
Tambahnya, pada bulan ini juga, pihaknya melawat ibu pejabat IndiGo di New Delhi, India untuk mengkaji peluang pembukaan laluan penerbangan terus dari India ke Pulau Pinang.
”Ini dapat memberikan pilihan perjalanan yang lebih mudah kepada pelancong dari kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya telah menghantar Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan, beserta pasukannya ke Dubai untuk berjumpa dengan pihak atasan Flydubai Airlines.
”Tujuan pertemuan ini adalah untuk berbincang mengenai laluan penerbangan baharu dari Dubai ke Pulau Pinang yang dijadualkan mula beroperasi pada Februari 2024.
”Kami berharap perkara ini dapat memperluaskan lagi hubungan penerbangan Pulau Pinang di rantau Asia Barat,” katanya.
Sementara itu, katanya, sehingga akhir tahun 2023, antara bandar antarabangsa yang telah mempunyai laluan terus ke Pulau Pinang ialah Singapura; Bangkok; Phuket; Guangzhou; Xiamen; Hong Kong; Medan; Jakarta; Surabaya; Banda Aceh; Taipei; Ho Chi Minh dan Doha. – UTUSAN