Pulau Pinang ‘libas’ Kuala Lumpur untuk ke akhir

Pulau Pinang ‘libas’ Kuala Lumpur untuk ke akhir

TRIO Pulau Pinang meraikan kejayaan mara ke perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pulau Pinang layak ke pentas akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari selepas membenam Kuala Lumpur 2-0 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Wakil tunggal dari utara yang layak sebagai empat pasukan ke separuh akhir kejohanan itu bermula garang menerusi Regu A yang mengekalkan Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri (tekong), Afiq Aiman Zairi (perejam) dan Muhamad Zulhilmi Abd. Hadi (pengumpan).

Kuala Lumpur yang pernah menjuarai 12 edisi kejohanan itu menurunkan Muhammad Syahril Mohd Rosdi (tekong) Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Rizani Ruzaini (perejam)

Trio Pulau Pinang tidak berdepan masalah untuk memimpin perlawanan apabila mendahului 15-8 sehingga memaksa Kuala Lumpur menggantikan perejam mereka agar kembali memberi saingan.

PEMAIN gantian Pulau Pinang, Sollehuddin Azizi cuba menghalang bola rejaman Hanafiah Dolah dalam aksi separuh akhir bertemu Kuala Lumpur pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Bagaimanapun, kemasukan Hanafiah Dolah tidak dapat membantu Kuala Lumpur apabila Pulau Pinang terus menjarakkan diri bagi mengutip mata 21-11, 21-15 sekali gus mendahului 1-0.

Pemain bawah 21 tahun Pulau Pinang, Muhammad Imran Mohd. Fazli, Aiman Aliff Roslan dan Nabil Naufal M. Fuad yang diturunkan selaku Regu B terus mempamerkan permainan menarik.

Mereka berjaya meneruskan rentak cemerlang apabila mendahului 21-16 pada set pertama sebelum memuktamadkan kemenangan 21-14 bagi memastikan Pulau Pinang layak ke akhir.

Sementara itu, Muhammad Zulhilmi menjanjikan permainan yang lebih menarik akan cuba ditampilkan Pulau Pinang pada perlawanan akhir nanti selepas gembira dengan aksi ditampilkan rakan sepasukan setakat ini.

“Kami tak jangka dapat menang straight set 2-0 dengan Kuala Lumpur hari ini tapi saya bangga dengan semangat rakan-rakan yang tidak lalai sepanjang permainan.

“Kami harap para penyokong dapat turun beramai-ramai bagi memberikan sokongan pada perlawanan akhir esok,” katanya.

Pulau Pinang akan bertemu sama ada Melaka atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini sedang membuat perhitungan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Perlawanan akhir edisi ke-57 Piala Emas Khir Johari akan berlangsung pada pukul 3 petang esok sementara aksi penentuan tempat ketiga dan keempat dijadualkan pada pukul 10 pagi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya