PETALING JAYA: Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki memukul isterinya dalam kejadian di Jalan Perdana 3/10, Pandan Perdana, Ampang Jaya, di sini, semalam.
Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu dikatakan berlaku apabila pasangan tersebut bertengkar sehingga bertindak merosakkan komputer riba milik mangsa yang berusia 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd. Azam Ismail berkata, suspek kemudian memukul isterinya sehingga cedera di bahagian tangan kanan.
Katanya, motif kejadian dipercayai kerana suspek berang apabila mangsa yang bekerja sebagai pereka dalaman tidak membantunya membuat kerja rumah.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya menahan suspek berusia 36 tahun, semalam.
“Tangkapan dibuat terhadap penganggur itu sekitar pukul 6.20 petang di Pandan Perdana, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, semakan terhadap suspek mendapati negatif dadah dan tiada rekod lampau.
Katanya, suspek direman tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. – UTUSAN