Proses berfikir pendidik terbantut tanpa komunikasi visual spontan

Proses berfikir pendidik terbantut tanpa keupayaan komunikasi visual spontan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali saya ada perjumpaan dengan para pendidik, saya sedaya upaya akan cuba menarik perhatian mereka tentang kepentingan keupayaan komunikasi visual spontan mempengaruhi proses berfikir. Saya amat percaya pendidik agen pembentuk karakter pelajar ke arah kecemerlangan.

Pendidik juga menjadi contoh terbaik kepada pelajar untuk lebih berdaya saing, dinamik dan progresif. Salah satu keupayaan yang perlu dikuasai oleh pendidik adalah keupayaan komunikasi visual spontan.

Apa itu keupayaan komunikasi visual spontan? Keupayaan menzahir menggunakan lakaran dan menyampaikannya secara spontan idea-idea daripada minda cipta kepada kumpulan sasar.

Mudah sahaja untuk kita memahami keupayaan tersebut. Cuba anda bayangkan ada sembilan rumah yang disusun atur dalam tiga barisan. Setiap barisan mempunyai tiga buah rumah.

Jarak antara rumah adalah tiga meter. Rumah No.1 berkedudukan di barisan pertama sebelah kiri atas dan Rumah No.9 berkedudukan di barisan ketiga sebelah kanan bawah. Jika Ali tinggal di Rumah No.1 dan ingin pergi ke Rumah No.9, berapakah potensi laluan yang boleh Ali gunakan untuk sampai ke Rumah No.9?

Jika hanya mencongak, pastinya sukar untuk tentukan jumlah potensi laluan yang boleh Ali gunakan. Cuba anda lakarkan sembilan buah segi empat sama mewakili sembilan buah rumah mengikut arahan di atas.

Sudah tentu mudahnya untuk anda faham dan mengira potensi laluan yang boleh digunakan oleh Ali untuk sampai ke Rumah No.9. Proses berfikir menjadi lebih cekap dan berkesan.

Senario kedua pula memerlukan anda menceritakan secara jelas keadaan satu kawasan lapang yang akan dijadikan tempat latihan. Lawatan tapak telah diadakan dan mendapati ada masalah besar yang perlu diselesaikan bersama ahli jawatankuasa program.

Ia berkaitan susun atur ruang yang telah dipersetujui tetapi tidak boleh dilaksanakan di kawasan lapang itu. Penerangan hanya menggunakan lisan dan teks sahaja tidak mencukupi untuk menjelaskan masalah yang dihadapi.

Cara terbaik menggunakan komunikasi visual spontan dan disokong oleh gambar-gambar lawatan tapak. Cara ini akan memudahkan ahli jawatankuasa untuk faham dan berfikir mencari jalan penyelesaian. Semasa proses berfikir itu juga penting menggunakan keupayaan komunikasi visual spontan untuk memudahkan interaksi antara ahli jawatankuasa tersebut.

Pastinya anda bersetuju dengan saya tanpa menggunakan lakaran agak sukar untuk membuat keputusan yang berkesan kepada simulasi dua senario di atas. Simulasi ini juga membuktikan kepentingan komunikasi visual spontan mempengaruhi proses kita berfikir.

Hal yang sama juga boleh berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua peringkat pendidikan termasuk pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan pengajian tinggi.

Kesedaran tentang kepentingan komunikasi visual spontan mempengaruhi proses berfikir amatlah rendah. Kenyataan ini boleh disahkan oleh anda dengan membuat penilaian kendiri.

Berapa peratus dalam aktiviti PdP, anda menggunakan komunikasi visual spontan (melakar) untuk menzahir dan menyampaikan idea-idea kompleks kepada kumpulan sasar?

Saya yakin kebanyakan daripada kita menggunakan kurang daripada 30 peratus. Ramai akan menyatakan bahawa mereka banyak menggunakan verbal, teks dan slide untuk sesi tersebut.

Adakah anda tahu? Penggunaan verbal, teks dan slide hanya memberi impak dalam lingkungan 20-30% efektif kepada ‘learning retention’ seseorang pelajar. Jika hal ini benar-benar berlaku, kebanyakan daripada PdP sangat tidak efektif.

Usaha dan kerja keras pendidik memandaikan pelajar-pelajar akan jadi sia-sia. Manakala keupayaan pelajar berfikir akan terjejas. Akibat daripada itu, kebarangkalian penilaian pencapaian pelajar akan merudum dan diikuti oleh pencapaian keseluruhan institusi pendidikan tersebut.

Senario ini menjadi kesan jangka pendek kepada pendidik, pelajar dan juga institusi pendidikan tersebut. Kesan ini boleh dikurangkan jika langkah proaktif diambil oleh semua pihak untuk menguasai keupayaan komunikasi visual spontan.

Kesan jangka panjang akan dapat dilihat kepada pelajar tersebut selepas mereka melangkah ke alam pekerjaan. Keupayaan komunikasi visual spontan yang rendah akan membantutkan cara mereka berfikir untuk menyelesaikan masalah.

Selain daripada itu, keupayaan menjana idea-idea baharu juga akan terencat walaupun pada hakikatnya mereka mahir berfikir. Jika kesan jangka panjang ini betul-betul berlaku, tempoh untuk membetulkan keadaan akan mengambil masa yang panjang.

Ia kerana rebung sudah menjadi buluh. Walau bagaimanapun masih ada harapan untuk membetulkannya jika kita ada semangat untuk menguasai keupayaan ini.

Ramai mungkin terkejut dengan pendapat saya ini. Berdasarkan kepada pengamatan saya melatih lebih 8,000 orang di seluruh negara berkaitan keupayaan ini, masyarakat kita amat kreatif dan inovatif dalam menjana idea-idea menarik, cuma halangan terbesar mereka adalah untuk menzahir dan menyampaikannya.

Senario ini menjadikan idea-idea bernas ini tidak dapat difahami secara jelas oleh kumpulan sasar untuk diperkembangkan atau dilaksanakan. Ketidakupayaan ini menjadikan proses berfikir orang yang menjana idea dan kumpulan sasar akan terbantut.

Kesan domino kepada senario ini pasti akan berlaku dan akhirnya tahap dan corak berfikir akan menjadi kurang dinamik. Jadilah kita masyarakat pengguna sahaja berbanding masyarakat pencipta.

Pembangunan negara akan bergantung kepada cara majoriti masyarakat berfikir. Jika aras berfikirnya rendah dan proses berfikir terlalu perlahan, kebarangkalian kita menjadi negara kurang maju amatlah cerah.

Jika majoriti masyarakatnya mempunyai aras berfikir yang tinggi dan proses berfikir cekap, sudah tentu peluang untuk maju amatlah tinggi. Begitulah seterusnya, tepuk dada tanyalah selera.

Cabaran besar masyarakat kita bukanlah kepada kemahiran berfikir tetapi kepada cabaran untuk menzahir dan menyampaikan idea-idea kreatif dan inovatif secara berkesan.

Apa usaha kita sebagai pembuat dasar, pentadbir, pendidik, ibu bapa dan pelajar untuk memastikan kita boleh jadi negara maju yang dinamik, progresif dan dalam masa yang sama masih dapat mengekalkan nilai dan adab tinggi sebagai masyarakat yang bertamadun. Bagi pendapat saya, kuncinya kepada cara kita berkomunikasi untuk menajamkan cara kita berfikir.

Tajamnya minda kita maka hasilnya pasti tidak mengecewakan. Keupayaan komunikasi visual spontan seharusnya dijadikan agenda perdana selari dengan kempen mendigitalkan masyarakat.

Kempen mendigital masyarakat merupakan agenda yang baik untuk memastikan masyarakat tidak ketinggalan dengan perkembangan dunia semasa.

Tetapi dalam masa yang sama, usaha menajamkan minda masyarakat harus diusahakan secara berterusan dan sistematik. Pengupayaan komunikasi visual spontan kepada semua pihak terlibat memajukan negara terutama pendidik perlu menjadi agenda besar negara.

Pada pendapat saya, pendidik adalah sumber utama memartabatkan masyarakat kepada aras yang lebih tinggi. Pendidik perlu diperlengkapkan dengan keupayaan komunikasi visual spontan secara sistematik melalui kursus-kursus strategik.

Saya dan pasukan juga telah memulakan langkah membudayakan komunikasi visual spontan melalui program ‘Visual Teachers’ yang akan diadakan di seluruh negara bermula pada tahun ini. Target kami untuk melatih 10,000 pendidik mahir komunikasi visual. Setiap pendidik ini pula dapat melatih 100 orang setahun dengan keupayaan ini.

Dijangka sejuta pelajar akan mendapat manfaat kepada usaha ini. Buat masa ini kami masih mencari penaja untuk program ini. Kepada organisasi atau individu perseorangan yang berminat menaja program ini dengan tujuan bina negara, boleh hubungi pihak Utusan Malaysia. Sama-sama kita bina negara tercinta ini melalui masyarakat yang berkualiti, dinamik dan progresif.

Kita tidak perlu menunggu orang lain untuk bermula. Kita boleh memulakan langkah tersebut dengan memastikan diri sendiri menguasai keupayaan komunikasi visual spontan.
Melakar dan melukis adalah asas utama kepada keupayaan ini.

DRAWZANIA adalah satu produk buatan Malaysia yang direka bentuk untuk memudahkan pendidik dan pelajar-pelajar menguasai kemahiran melakar dan melukis untuk menzahirkan idea-idea kreatif daripada minda cipta. Semoga usaha ini kita boleh bantu masyarakat dan negara menjadi lebih dinamik dan progresif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya