GEORGE TOWN: Video pendek mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang menggunakan loghat utara menjadi salah satu usaha bagi menggalakkan penduduk Pulau Pinang mendaftar melalui sistem berkenaan.
Video berdurasi enam minit 31 saat yang dihasilkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Pulau Pinang itu mula dilancarkan semalam.
Pengarah Perangkaan Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan berkata, beliau dan Pengarah Penerangan negeri, Sabri Said bergabung idea menerusi video terbabit untuk memperkasakan hebahan dan promosi mengenai kepentingan mendaftar PADU kepada penduduk negeri ini.
Katanya, video itu turut menerangkan tentang tatacara pengisian sistem terbabit dan penggunaan loghat utara dilihat bertepatan kerana ia lebih mudah difahami.
“Kita gunakan pelbagai cara untuk menggalakkan orang ramai mendaftar dan video dalam loghat utara ini merupakan salah satu daripada usaha kedua-belah pihak.
“Ini kerana penggunaan loghat itu sendiri lebih menarik dan mampu menggamit perhatian orang ramai di samping membantu menyebarkan lebih banyak maklumat mengenai sistem tersebut.
“Terdahulu, DOSM dengan bantuan JaPen menerusi Info On Wheel, telah masuk ke kawasan perumahan untuk membuat hebahan mengenai pelaksanaan PADU dan susulan itu, timbul idea untuk kami hasilkan video ini dengan pengisian maklumat yang lebih teperinci,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairolnizam berkata, video itu telah dimuat naik sejak semalam di semua platform media sosial DOSM.
Katanya, ia turut dikongsikan di platform media sosial rakan streategik lain termasuk JaPen.
“Pulau Pinang mempunyai seramai 1.2 juta penduduk dan seramai 53,031 yang berusia 18 tahun ke atas direkodkan telah mendaftar dengan PADU setakat semalam.
“Kita yakin jumlah itu akan terus meningkat menjelang tarikh akhir pada 31 Mac depan berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima di semua kaunter operasi PADU yang dibuka di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, pihaknya juga telah menggerakkan ‘flying squad’ untuk membuka kaunter-kaunter di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama tiga hari seminggu iaitu dari Khamis hingga Sabtu.
“Minggu ini operasi kaunter adalah di pejabat DUN Tanjung Bungah dan Pantai Jerejak di bahagian pulau serta pejabat ADUN Sungai Acheh di Seberang Perai Selatan (SPS),” katanya. – UTUSAN