KUALA LUMPUR: Lebih 100 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga berpendapatan rendah menerima manfaat tuisyen secara percuma tajaan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) menerusi Program Tuisyen Pintar Yayasan Pelajaran Mara (YPM) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohd. Azlan Abdullah berkata, menjadi tanggungjawab syarikat itu untuk melaksanakan inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) berteraskan pendidikan.
Katanya, inisiatif CSR itu adalah kerjasama berterusan antara PROLINTAS bersama YPM sejak beberapa tahun lalu.
“Bukan semua ibu bapa mampu menawarkan tuisyen kepada anak-anak mereka memandangkan kosnya yang agak tinggi.
“Para pelajar berpeluang mendapatkan tip-tip menjawab kertas peperiksaan daripada tenaga pengajar bertauliah ketika sesi tuisyen berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Mohd. Azlan berkata, sebanyak lapan sekolah yang terletak berhampiran lebuh raya di bawah kendalian PROLINTAS dikenal pasti bagi mengambil bahagian dalam program itu dan antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seraya, SMK Pandan Indah, SMK Tasik Permai dan SMK Dato’ Ahmad Razali.
“Sebanyak 10 sesi tuisyen dijalankan secara berpusat di SMK Taman Seraya selaku tuan rumah dengan fokus diberikan kepada empat subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan Pendidikan Islam” katanya. – UTUSAN