PETALING JAYA: Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) menetapkan bahawa China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) akan melantik subkontraktor dan pembekal tempatan untuk sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja-kerja sivil Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak termasuk kerja-kerja terowong.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam satu kenyataan memaklumkan, kontrak itu ditandatangani pada 1 November 2016 antara MRL selaku pemilik Projek ECRL dan CCCC selaku kontraktor utama Projek ECRL.
Katanya, jumlah itu telah ditingkatkan kepada 40 peratus hasil rundingan semula kontrak EPCC antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China yang telah termaktub di dalam Perjanjian Tambahan Kontrak EPCC bertarikh 12 April 2019.
“Selain itu, setakat 30 November 2023, sejumlah RM13.64 bilion nilai kontrak iaitu melepasi sasaran RM10.8 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan yang terdiri daripada syarikat kontraktor, perunding dan pembekal tempatan,” katanya.
Jumlah tersebut merangkumi sebanyak RM1.20 bilion bagi kerja-kerja kontrak Projek ECRL di Kelantan, RM6.18 bilion di Terengganu, RM5.62 bilion di Pahang dan RM0.64 bilion di Selangor yang melibatkan sejumlah 2,801 syarikat tempatan secara keseluruhan.
Dari jumlah itu, MRL memperjelaskan bahawa nilai kontrak yang telah dianugerahkan kepada pihak kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera setakat 30 November lalu adalah sebanyak RM2.66 bilion atau 76.07 peratus daripada sasaran RM3.50 bilion.
“Selain itu, dari jumlah nilai RM2.66 bilion tersebut, sebanyak RM1.69 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera, RM0.28 bilion kepada syarikat perunding bumiputera dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal bumiputera.
“Jumlah RM1.69 bilion yang telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera tersebut adalah melibatkan 172 pakej kontrak (28 di Kelantan, 79 di Terengganu, 50 di Pahang dan 15 di Selangor) kepada 129 syarikat kontraktor bumiputera bagi kerja-kerja Projek ECRL di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor yang merangkumi kerja-kerja tanah (At-Grade), kerja-kerja jambatan dan pembinaan stesen,” katanya.
Pada masa sama, MRL memaklumkan bahawa kerajaan negeri yang terlibat masing-masing telah menubuhkan jawatankuasa koordinator khas dan juga telah melantik syarikat milik kerajaan negeri khusus bagi tujuan pengesyoran kontraktor bumiputera negeri untuk melalui proses pra-kelayakan (Pre-Q).
“Antara keperluan yang telah ditetapkan di dalam Pre-Q tersebut adalah syarikat perlu memiliki sijil-sijil yang berkaitan termasuk sijil pengesahan taraf bumiputera untuk layak disenarai pendek.
“Seterusnya, kontraktor bumiputera yang telah disenarai pendek akan dipanggil oleh pihak CCCC untuk penyertaan tender bagi skop kerja yang berkaitan,” katanya.
Sementara itu, pelaporan mengenai Penglibatan Syarikat Tempatan di dalam Projek ECRL dibuat secara bulanan oleh pihak CCCC yang mana MRL turut memberi taklimat dan mengemas kini butiran maklumat mengenai penglibatan syarikat tempatan dan bumiputera kepada setiap kerajaan negeri yang terlibat dari semasa ke semasa.
Tambahnya, pihak MRL juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi tujuan memberikan satu lagi platform bagi kontraktor bumiputera di negeri-negeri yang berkaitan untuk berpeluang turut serta dalam pembinaan Projek ECRL.
“Selain itu, pihak MRL turut mengambil maklum akan isu berkaitan faktor komersil dan lain-lain kekangan dalam penentuan tawaran Tender Projek ECRL dan pihak kami sentiasa bersedia untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan kepada pihak MRL oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
“MRL menegaskan bahawa usaha untuk memperkasa penglibatan bumiputera di dalam Projek ECRL sentiasa menjadi keutamaan sungguhpun perkara itu tidak termaktub di dalam Perjanjian EPCC yang hanya mensyaratkan penglibatan syarikat tempatan sahaja.
Terkini, inisiatif tambahan yang sedang diambil oleh pihak CCCC adalah kerjasama dengan pihak kerajaan negeri yang terlibat bagi penglibatan kontraktor bumiputera kategori G1 dan G2 bagi skop kerja yang bersesuaian.
“Pihak CCCC juga sedang dalam proses menyenarai pendek syarikat kontraktor bumiputera G1 dan G2 yang telah disyorkan oleh pihak kerajaan neger yang terlibat dan panggilan penyertaan tender akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, MRL diminta memperincikan nilai kontrak berjumlahRM2.59 bilion bagi kerja-kerja sivil projek ECRL yang dikatakan diberikan kepada kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, perincian nilai kontrak itu perlu dibuat kerana angka dinyatakan amat meragukan.
Beliau berkata, MRL selaku pemilik projek berimpak tinggi itu perlu memberikan perincian tentang nama syarikat, gred dan alamat berdaftar syarikat bumiputera terlibat. – UTUSAN