LUMUT: Sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor yang didakwa mengenakan harga mahal melampau dan tular dalam media sosial, dikenakan tindakan dalam pemeriksaan mengejut semalam dan hari ini.
Pemeriksaan bersepadu menerusi Ops Samar itu membuat pemeriksaan ke atas premis menjual makanan hasil laut tersebut serta yang lain di sekitar Teluk Nipah bermula pukul 6 petang hingga 2 pagi.
Hasil operasi itu mendapati premis tersebut tidak meletakkan tanda harga ke atas makanan hasil laut yang belum dimasak serta tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan makanan hasil laut tersebut.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, menjelaskan premis itu hanya meletakkan tanda harga ketika pemeriksaan pegawai beruniform dilakukan awal pagi hari ini.
“Pemeriksaan dan perbandingan harga makanan di premis yang diadu juga didapati lebih tinggi berbanding harga makanan yang sama di premis lain sekitar Teluk Nipah,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, tegas beliau, satu tindakan kes diambil ke atas peniaga tersebut kerana disyaki melanggar Seksyen140(3)(a)(b) Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu gagal meletakkan butiran nama dan alamat perniagaan serta tarikh pembelian dalam resit yang dikeluarkan kepada pengguna.
Tambahnya, premis itu juga diberikan satu Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) dan Notis Bertulis (NB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 yang memerlukan peniaga tersebut mengemukakan maklumat barangan kepada pihak KPDN Perak dalam tempoh lima hari waktu bekerja.
Beliau memaklumkan siasatan lanjut akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011.
Jelasnya lagi, operasi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN) Perak, KPDN Cawangan Manjung, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
“Tindakan ini adalah reaksi maklum balas pihak KPDN Perak berhubung kiriman tular oleh seorang pengguna di aplikasi TikTok dan turut dikongsikan kandungan kiriman tersebut oleh pengguna lain di aplikasi Facebook kelmarin.
“Dalam kiriman tersebut, beliau mendakwa telah dikenakan caj harga makanan laut siap masak yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti serta perkhidmatan yang diberikan,” ujarnya. – UTUSAN