DUNGUN: Lebih 200 mangsa banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun terpaksa menumpang di kediaman saudara mara serta penduduk kampung selepas pusat pemindahan sementara (PPS) dewan orang ramai kampung itu dinaiki air, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kesemua mangsa terlibat dipindahkan dengan bantuan pasukan penyelamat.
“Air Sungai Dungun melimpah dengan cepat dan mendadak sehingga lebih empat meter melimpah ke kawasan kampung.
“PPS mula dinaiki air sekitar pukul 2 petang dan kita ambil tindakan segera dengan menyelamatkan penduduk dengan menggunakan lori dan bot penyelamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ghazali berkata, pihaknya tiada pilihan lain untuk memindahkan mangsa banjir selain menempatkan penduduk di rumah saudara mereka di kampung ini kerana kawasan sekolah yang pernah dijadikan PPS juga dinaiki air.
“Banjir buruk tersebut menyebabkan banyak kediaman penduduk di kampung itu hanya tinggal paras bumbung.
“Selain kediaman penduduk, sekolah dan masjid juga turut terjejas banjir,” katanya. – UTUSAN