PETALING JAYA : Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana warga polis yang bermasalah dan terbabit dengan aktiviti jenayah.
Beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, siasatan melibatkan anggota polis terlibat jenayah tidak akan dilengahkan malah tindakan segera akan diambil.
Kata beliau, tiada kompromi terhadap mana-mana polis terlibat jenayah kerana ia boleh mencemar integriti dan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes jenayah membabitkan polis ini hanya melibatkan segelintir pegawai dan anggota.
“Justeru, tindakan tegas dengan kadar segera akan diambil sebelum kertas siasatan itu dihantar ke pejabat peguam agar pendakwaan dapat dilakukan,”katanya di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal yang disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol seorang penuntut sebuah kolej swasta di Bukit Ampang View, di sini, pada Selasa lalu.
Sebelum ini seorang ketua polis balai yang didakwa melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang orang awam turut dilaporkan.
Dalam pada itu, Razarudin menegaskan sebarang perlakuan jenayah membabitkan pegawai dan anggota polis akan disiasat secara telus dan berharap masyarakat memberi kepercayaan penuh kepada polis.
“Kita tidak berselindung dan akan siasat serta dakwa anggota kita terlibat jenayah berlandaskan undang-undang di negara ini. Tiada siapa boleh terlepas daripada sebarang tindakan,” ujarnya. – UTUSAN