Polis Terengganu hasrat bekal 1,000 beg darah setahun - Utusan Malaysia

Polis Terengganu hasrat bekal 1,000 beg darah setahun

MAZLI Mazlan (kanan) beramah mesra dengan anggota polis yang menyertai program menderma darah di IPK Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berhasrat membekalkan lebih 1,000 beg darah setahun melalui program derma darah membabitkan pegawai dan anggotanya bermula tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, bagi merealisasikan sasaran itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu akan menjadi rakan strategik Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT).

Beliau berkata, sumbangan bekalan darah itu bagi membantu meningkatkan bekalan darah untuk kegunaan hospital-hospital di Terengganu yang didapati semakin berkurangan.

Menurutnya, pegawai dan anggota polis di negeri itu digalakkan turut serta menyertai program derma darah anjuran pihaknya dengan kerjasama JKNT selepas ini.

“Ini juga adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat PDRM Kontinjen Terengganu kepada masyarakat setempat dan kita melihat jabatan kesihatan antara jabatan yang penting.

“Jadi untuk tahun ini kami merancang untuk mengadakan empat program derma darah melibatkan pegawai dan anggota dengan sasaran lebih 1,000 beg darah dapat diserahkan untuk kegunaan hospital.

“JKNT akan menjadi rakan strategik PDRM Kontinjen Terengganu bagi memastikan hasrat itu dapat dicapai,” katanya pada program menderma darah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 300 beg darah disumbangkan kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan penyertaan pegawai dan anggota daripada IPK Terengganu, Setiu, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr. Roslina Remli berkata, pihaknya memerlukan bekalan 1,500 bag darah sebulan bagi menampung keperluan pesakit di negeri ini.

Jelasnya, hasil unjuran pihaknya mendapati bekalan darah untuk kegunaan hospital menurun lima peratus menjelang Ramadan ekoran kekurangan program derma darah pada musim tengkujuh.

“Bagaimanapun stok darah yang ada masih cukup untuk menampung keperluan semasa cuma kita akan terus berusaha dengan mana-mana penganjur untuk mengadakan program derma darah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya