Polis tembak mati suspek bunuh wanita Indonesia - Utusan Malaysia

Polis tembak mati suspek bunuh wanita Indonesia

Suspek bunuh wanita
PASUKAN polis membawa mayat suspek yang maut ditembak selepas cuba menyerang dengan parang dalam satu serbuan dekat rumahnya di Taman Bukit Subang, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suspek lelaki dipercayai terlibat dalam insiden pembunuhan kejam terhadap seorang wanita maut ditembak selepas cuba menyerang polis dengan parang dekat sebuah rumah di Bukit Subang, di sini, hari ini.

Sebelum itu, rumah yang didiami suspek dekat flat lima tingkat di kawasan Taman Bukit Subang diserbu polis yang sedang membuat tangkapan terhadap lelaki terbabit bersabit kes bunuh seorang wanita di Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menerima maklumat mengenai suspek sebelum membuat serbuan di lokasi terbabit kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurutnya, serbuan dilakukan oleh Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Hasil siasatan mendapati, semasa serbuan, suspek satu lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 20-an bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang di tempat kejadian.

“Polis melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri. Suspek kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah parang panjang berukuran 28 sentimeter (cm) turut dirampas,” katanya, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan suspek dikatakan tidak membuka pintu selepas diketuk pasukan serbuan beberapa kali. 

Bagaimanapun, sebaik sahaja masuk, suspek terus menyerang dengan parang apabila pasukan serbuan memperkenalkan diri sebagai polis.

Beliau menambah, serbuan tersebut bertujuan membuat tangkapan bersabit satu kes bunuh di Sungai Way, Petaling Jaya pada 29 Januari lalu melibatkan seorang wanita Indonesia berusia 19 tahun yang dibunuh kejam dengan kesan lapan tikaman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051,” ujarnya.

Terdahulu, mayat seorang wanita warga asing dilapor ditemukan dekat tangga sebuah pangsapuri di Desa Mentari, Sungai Way pada pagi Isnin lalu dengan kesan kecederaan pada leher, dada dan tangan.

Mangsa dikatakan berusia 19 tahun ditemukan orang awam sekitar pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata mangsa dipercayai dibunuh dengan objek tajam apabila terdapat kesan kecederaan pada leher, dada dan kedua belah tangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya