PETALING JAYA: Seramai 108 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan polis di Pasar Harian Selayang, dekat sini hari ini.
Operasi kira-kira pukul 3 pagi itu dilakukan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan terbabit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 465 pegawai dan anggota polis Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur selain Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bersama Jabatan Imigresen (JIM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi itu.
Kata beliau, selain membanteras pelbagai jenayah di situ, operasi berkenaan turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di situ.
“Seramai 213 warga asing diperiksa dan seramai 108 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Kesemua mereka diserahkan kepada JIM mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menetap lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Allaudeen berkata, pecahan tangkapan membabitkan 52 PATI warga Indonesia, Indonesia (52 orang), Myanmar (35 orang), India (12 orang), Bangladesh (tujuh orang) dan masing-masing seorang warga Nepal serta Pakistan.
“Polis dibantu jabatan agensi lain akan terus menjalankan operasi khas seperti ini pada masa akan datang.
“Justeru, orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada polis,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara. – UTUSAN