ALOR SETAR: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita bersama ganja lebih 16 kilogram (kg) dalam dua serbuan berasingan di Kampung Kuala Alor, Simpang Kuala, di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua dadah terbabit bernilai lebih RM50,000 yang disyaki bekalannya diperoleh dari negara jiran untuk dibekalkan di sekitar Kota Setar dan Kuala Ketil.
Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam bungkus plastik lutsinar yang mengandungi dadah mampat jenis ganja seberat 6.2kg yang dianggarkan bernilai RM19,250,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Susulan penahanan pertama, polis membuat serbuan kedua di kawasan sama pada pukul 4.10 pagi dengan menahan sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki seorang lelaki dan wanita.
Fisol berkata, hasil pemeriksaan menemukan satu kotak mengandungi 10 bungkus plastik lutsinar dadah mampat jenis ganja seberat lebih 10kg di tempat duduk penumpang bahagian belakang yang dianggarkan bernilai RM31,000.
Ujarnya, kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 43 tahun itu kini direman sehingga 10 Januari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tiga lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methamphetamine manakala wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Mereka dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu dan kesemua dadah yang dirampas itu mampu digunakan bagi 3,200 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fisol berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,504 serbuan Op Dadu Khas telah dilaksanakan bagi tujuan untuk membanteras kes perjudian di Kedah.
“Seramai 1,661 orang telah ditahan dengan rampasan wang berjumlah RM311,142. Judi ekor haram mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 863 serbuan yang melibatkan 876 tangkapan dengan wang rampasan berjumlah lebih RM137,000.
“Operasi ini akan diteruskan tahun ini dan dari 1 Januari hingga semalam sahaja, sebanyak 25 serbuan telah dilaksanakan bagi perjudian dalam talian dan judi ekor haram,” katanya. –UTUSAN