Polis Pulau Pinang berjaya selesai 65.8 peratus kes jenayah tahun lalu - Utusan Malaysia

Polis Pulau Pinang berjaya selesai 65.8 peratus kes jenayah tahun lalu

KHAW Kok Chin (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah SPS antara Ng Ah Thiam (kiri) dan Mohd. Norazmi Abd. Ghapar di Seberang Perai, Pulau Pinang, hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan sebanyak 2,372 daripada keseluruhan 3,606 kes jenayah yang direkodkan di negeri ini tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, walaupun peratus penyelesaian kes sebanyak 65.8 peratus, namun pihaknya akan melaksanakan usaha berterusan bagi membanteras jenayah sekali gus meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan statistik sama, kita dapati terdapat peningkatan membabitkan kes pecah rumah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Utara (SPU) dan Timur Laut.

“Walau bagaimanapun, kes-kes lain seperti kekerasan jenayah, samun berkawan dan curi kenderaan didapati menurun dalam tempoh sama.

“Justeru, kita telah melaksanakan beberapa perancangan termasuklah menubuhkan pasukan khas (task force) untuk lebih fokus terhadap modus operandi dan memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti menjadi ‘hotspot’ kes-kes pecah rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah SPS, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis SPS, Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar ditugaskan memangku jawatan Ketua Polis SPS bagi menggantikan Superintenden Ng Ah Thiam yang bersara wajib mulai esok.

Dalam pada itu, Kok Chin turut menasihati orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya ingin pulang ke kampung sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) boleh menjalankan rondaan sekitar kawasan kediaman bagi memastikan persekitaran kekal selamat.

“Jiran-jiran yang tinggal berhampiran juga diminta menghubungi pihak polis sekiranya ternampak aktiviti mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya