KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memberi jaminan akan terus menggempur lokasi panas warga asing terutama mereka yang melakukan pelbagai kesalahan imigresen di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi besar-besaran seperti yang dijalankan di Jalan Silang baru-baru ini akan diadakan dari semasa ke semasa.
“Senario warga asing memang kita tahu sama ada miliki dokumen atau tidak mereka ramai tetapi pada umumnya yang bekerja ini mempunyai dokumen sah.
“Kita tidak nafikan ada warga asing ini, jadi susulan operasi yang dijalankan Bukit Aman di Jalan Silang baru-baru ini akan dilakukan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Walkabout Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Allaudeen berkata, operasi berskala besar akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur, bebas dari sebarang elemen kesalahan yang membabitkan warga asing.
“Polis Kuala Lumpur pastinya akan memberikan bantuan sama ada dari segi maklumat di lapangan ataupun bantuan sumber manusia dalam operasi berkenaan.
“Apa yang penting adalah kita mahu memastikan persekitaran Kuala Lumpur sentiasa berada dalam keadaan aman dan terhindar dari sebarang anasir jenayah,” katanya.
Beliau berkata, selain pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan juga kebelakangan ini turut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Katanya, Polis KL menerusi semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dalam pentadbiran Kontinjen Kuala Lumpur, sentiasa memantau sebarang lokasi tumpuan warga asing dari masa ke masa. – UTUSAN