PM mahu Jemaah Menteri kerja sebagai satu pasukan

PM mahu Jemaah Menteri kerja sebagai satu pasukan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya semua Jemaah Menteri mengamalkan konsep bekerja sebagai satu pasukan khususnya ketika menjawab persoalan dibangkitkan di Parlimen.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.

“Sebagai contoh bagi isu hal ehwal Sabah dan Sarawak, yang akan menjawabnya adalah Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) dan jika beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, maka ia akan dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, ( Datuk Ewon Benedick).

“Jika beliau tidak ada, akan dijawab oleh Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang), jika ketiga-tiga menteri tidak ada, maka Timbalan kepada Fadillah akan menjawab,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, bagi isu berkaitan bencana pula, ia akan dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, namun sekiranya beliau tiada, tanggungjawab itu akan diambil alih oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Fahmi berkata, bagi isu Felda, Jemaah Menteri memutuskan supaya ia akan dijawab oleh Ahmad Zahid.

“Sebelum ini isu FELDA dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tetapi mesyuarat hari ini memutuskan supaya ia dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Sekiranya beliau tidak berada di Parlimen atau tidak dapat menjawab, (isu Felda) akan dijawab oleh timbalan beliau (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang),” katanya.

Pada mesyuarat sama, katanya, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di atas kejayaan kes Sulu.

“Ucapan terima kasih turut diberikan kepada bekas Menteri Luar dan Menteri Luar sekarang di atas kejayaan itu di mana penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa didapati bersalah kerana menghina mahkamah.

“Inilah adalah kejayaan yang besar termasuk beberapa langkah lagi di beberapa negara lain termasuk di Perancis,” katanya.

Semalam, Gonzalo Stampa didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol sekali gus melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya